
[ Sumber : Siaran Akhbar JAPEM ]
Foto : KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Mac. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan Majlis Kesyukuran (Khas Wanita) sempena
Hari Wanita Antarabangsa di Dewan DiGadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang
disertai hampir 200 orang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Datin Hajah Dayang Binanun binti Haji
Bungsu, Isteri kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap -
Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Pegawai-Pegawai kanan, ahli-ahli persatuan,
rakan-rakan strategik KKBS serta mahasiswi dari pusat-pusat pengajian tinggi.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai. Manakala bacaan Doa Allah
Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norkamaliah
binti Haji Mokti, Guru Ugama Terlatih, Pusat Pembangunan Belia.
Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Wanita Mithali dan Berinovasi Membangun Ummah’
yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman, Pensyarah
UNISSA. Antara intipati tazkirah ialah definisi wanita Mithali sebagai teladan dan inovasi ke arah
perubahan yang positif. Ditekankan juga, di era digital ini wanita hendaklah bijak dalam
penggunaan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan ibadah namun masih menjaga
batas selaku wanita Mithali.
Majlis turut diimarahkan dengan persembahan Tausyeh dan bacaan Sayyidul Istighfar oleh
Kumpulan Firqah An Naylaa serta bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Wanita
Antarabangsa 2023 dan Doa Selamat Terhindar dari Wabak COVID-19 oleh Yang Mulia Dayang
Norkamaliah binti Haji Mokti.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (International Women’s Day; IWD) disambut pada setiap 8
Mac. Tahun ini merupakan kali ke-10 Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Wanita
Antarabangsa, dan tema pada tahun ini adalah “Innovasi Digital dan Teknologi untuk Semua”.
Sebagai usaha untuk menyokong dan memeriahkan lagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa
2023, dengan kerjasama Kementerian Pembangunan, Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
(SHOAS) akan dinyalakan dengan lampu berwarna Ungu. Penyalaan lampu Jambatan SHOAS akan
bermula pada malam ini, Selasa,7 Mac 2023 pukul 7.00 malam dan akan berakhir pada hari Rabu,
8 Mac 2023 pukul 12.00 malam.