Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022

IMG_9102.jpg 


Bandar Seri Begawan, Khamis, 19 Jamadilakhir 1444H / 12 Januari 2023M – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima dua sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022, iaitu daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli bersekutu berjumlah Empat Ribu Dua Ratus Tujuh Puluh Lima Ringgit (BND4,275.00) dan daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) berjumlah Lima Ribu Ringgit (BND5,000.00). Majlis berlangsung hari ini di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Hadir menerima sumbangan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sumbangan bagi pihak Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli Bersekutu yang berjumlah BND4,275.00 telah disampaikan oleh Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi selaku Pengerusi II Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, manakala sumbangan daripada UBD berjumlah BND5,000.00 pula disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rubiah binti Haji Yacob, Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), Universiti Brunei Darussalam. 

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 yang telah dibukakan kepada orang ramai selama 3 bulan sejak 15 Oktober 2022 akan berakhir hari ini 12 Januari 2023.

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian sukacita ingin memaklumkan kepada orang ramai khususnya agensi-agensi kerajaan dan swasta; persatuan-persatuan atau badan-badan bukan kerajaan; orang-orang persendirian yang telah membuat kutipan bagi tabung berkenaan untuk segera menyerahkan hasil kutipan tersebut kepada pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 tidak lewat pada hari Khamis, 19 Januari 2023 pukul 1.00 petang. 

Hasil kutipan derma tersebut bolehlah dihantar kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, boleh menghubungi pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 di talian 2381903 / 2382911 sambungan 1341/1205 pada waktu pejabat atau Talian Kebajikan 141 atau emel kepada info@japem.gov.bn.


IMG_9134.jpg



Attachments
Created at 12/01/2023 18:14 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 12/01/2023 18:14 by Ak Hussni Bin Pg Hassan