Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022

TKBP_01.jpg

[ Sumber: Siaran akhbar dan Foto JAPEM ]


​Bandar Seri Begawan, Khamis, 5 Januari 2023 – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima dua sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022, iaitu daripada Kementerian Pertahanan berjumlah Dua Ribu Sembilan Ratus Empat Belas Ringgit (BND2,914.00) dan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berjumlah Sepuluh Ribu Ringgit (BND10,000.00). Majlis berlangsung hari ini di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Hadir menerima sumbangan tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Sumbangan bagi pihak ABDB yang berjumlah BND10,000.00 telah disampaikan oleh Yang Mulia Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, manakala sumbangan daripada Kementerian Pertahanan berjumlah BND2,914.00 pula disampaikan oleh Yang Mulia Kolonel (Bersara) Norsuriati Binti Haji Sharbini, Setiausaha Tetap (Dasar, Kewangan dan Pentadbiran), Kementerian Pertahanan. 

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pertahanan.

Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 telah dibukakan kepada orang ramai selama 3 bulan bermula 15 Oktober 2022 hingga 12 Januari 2023. Tabung ini merupakan sebuah platform yang disediakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan telus, serta bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Pakistan yang terjejas oleh banjir besar sejak Jun 2022. 

Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan derma berbentuk kewangan boleh berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid, surausurau dan balai-balai ibadat; bangunan-bangunan bank; gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara. Derma juga boleh dihantar secara online melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), akaun nombor 00-001-01-0082178 atau melalui perkhidmatan QuickPay dengan mengimbas QR Code QiuckPay yang boleh didapati diposter-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 atau dihantar terus kepada pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat. 

Sumbangan juga boleh dihantar melalui perkhidmatan SMS dengan menaip BANTU (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100 dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan Datastream Digital Sendirian Berhad dan Progresif Sendirian Berhad serta hantar ke talian 39999 bagi pelanggan Imagine Sendirian Berhad. Perkhidmatan SMS ini akan berakhir pada 12 Januari 2023. 

Bagi pihak yang berhasrat untuk mengadakan kutipan amal, peti tabung khas dan pelekat khas tabung boleh didapatkan di Pejabat Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 pada waktu pejabat. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, boleh menghubungi pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Banjir Pakistan 2022 di talian 2381903 / 2382911 sambungan 1341/1205 pada waktu pejabat atau Talian Kebajikan 141 atau emel kepada info@japem.gov.bn. Tempoh kutipan derma: 15 Oktober 2022 hingga 12 Januari 2023 (3 bulan).


IMG_9053.jpg IMG_9065.jpg



Attachments
Created at 5/01/2023 16:44 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 5/01/2023 16:47 by Ak Hussni Bin Pg Hassan