Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Wayang Pacak : Melangkaui standard pengalaman pawagam tertutup


UPA_1603_e.jpg


[ Sumber : Pelita Brunei ]

Berita : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi - Penerangan

Foto : Ak Hussni - KKBS



TEMBURONG, Jumaat, 9 Disember. - Filem adalah penting, ia bukan hanya sebagai wadah untuk mengkaji sudut perkongsian dan pandangan masyarakat akan tetapi untuk mencerminkan kekayaan budaya dan kepelbagaian ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Oleh yang demikian, pada Majlis Pembukaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke NBD, Puan Yang Terutama Caryn Roberta McClelland dalam ucapan seterusnya menyatakan bahawa Kedutaan AS terus menyokong filem dan seni kreatif yang membolehkan rakyat di negara ini dalam menceritakan kisah mereka dengan caranya yang tersendiri.

Hadir pada Majlis Pembukaan tersebut yang berlangsung di Ruang Super Tree, Bangar, Temburong ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Pengarah Festival dan Pengasas Mahakarya Institute of the Arts Asia, Siti Kamaluddin dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa penggabungan Wayang Pacak bermakna tayangan filem Blitz akan melangkaui standard pengalaman pawagam tertutup.

“Kami setentunya telah mengambil langkah berjaga-jaga khususnya akan keadaan cuaca namun ada sesuatu yang istimewa tentang menonton filem di luar dengan udara segar, di bawah bintang diiringi dengan bunyi hutan pada waktu malam," tambahnya.

Blitz Filem Brunei dalam inisiatifnya memperkenalkan wayang secara luaran dengan mempersembahkan Wayang Pacak kepada tiga lokasi di negara ini.

Sejurus pelancaran pembukaannya melalui Wayang Pacak di daerah Permata Hijau pada hari ini, tayangan selanjutnya akan diadakan di Seria dan di Bandar Seri Begawan, masing-masing pada 10 dan 11 Disember ini.

Tayangan Wayang Pacak yang julung kali diadakan menampilkan lima dokumentari tentang NBD dan ia merupakan sebahagian daripada Inisiatif Filem Dokumentari Mengupas Cerita, sebuah program tempatan yang mewakili usaha bersepadu pertama untuk mempromosikan penerbitan filem bukan fiksyen di negara ini.

Di samping itu, memberi peluang kepada pencipta filem tempatan untuk berkongsi perspektif mereka yang diselidik dan beretika dengan komuniti global.

Mahakarya Institute of the Arts Asia ialah organisasi pemudah cara bagi inisiatif ini dan pembiayaan disediakan oleh The Small Grants Program daripada Kedutaan AS di NBD.

Blitz Filem Brunei akan meneruskan Tayangan Antarabangsanya hingga 28 Disember 2022.

Pada tahun ini, Blitz Filem Brunei akan menayangkan beberapa buah filem dari Australia, Perancis, Indonesia, Iran, Filipina, Rusia, Thailand dan Turkiye.

Sebarang maklumat lanjut mengenai tayangan dan jadual program, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang di 'www.bruneifilmblitz.org'.



UPA_1639.jpgUPA_1638.jpg






Attachments
Created at 10/12/2022 15:13 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 10/12/2022 17:18 by Ak Hussni Bin Pg Hassan