Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Festival Teater Kebangsaan Brunei Ke-2 buka tirai

Infofoto_FTK2_01.jpg


[ Sumber : Pelita Brunei ]
Berita : Rohani Haji Abdul Hamid - Penerangan
​ Foto : Azmah Haji Ahad - Penerangan


TUNGKU LINK, Jumaat, 9 Disember. - Festival Teater Kebangsaan Brunei (NTFB) Ke-2 yang membawa tema 'The Bruneian's Heart' secara rasmi dilancarkan hari ini bertempat di Pusat Seni Pro-Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan festival tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
NTFB disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Bank Baiduri yang merupakan rakan kongsi acara.
NTFB juga mendapat sokongan daripada Mix Media Works (MMW), Artly Design, Printzmartz Advertising dan Pullman Miri Waterfront.
Festival ini dianjurkan oleh 247 Studio kumpulan teater tempatan dengan AICREATIVV, Medley House Productions, The Creative Core BN sebagai rakan kreatif dan Think Axis sebagai rakan strategik.
NTFB adalah aktiviti festival teater yang diadakan selama seminggu bermula dengan forum dan dialog, bengkel dan juga persembahan.
“Kerjasama yang ditunjukkan sepanjang penyediaan edisi kali ini benar-benar menunjukkan identiti orang kita. Ini selaras dengan tema tahun ini 'The Bruneian's Heart'.
“Pada tahun ini, orang ramai juga berpeluang menyaksikan semua persembahan daripada kumpulan yang mengambil bahagian dipentaskan semasa festival ini," kata Pengarah NTFB Co-Festival, Awang Mohd. Syazni bin Haji Abu Bakar yang juga selaku Pengarah Urusan 247 Studios.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kemudian diperkenalkan kepada tujuh kumpulan teater yang mengambil bahagian.
Manakala majlis penyampaian hadiah cenderahati kepada para penaja juga turut disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Tujuh kumpulan teater tempatan yang mengambil bahagian ialah 247 Studios, Bruhaha Comedy, Kumpulan PUTRA Seni, Lakap Lagor, Medley House Productions, RAKIS UBD dan Sutera Memento.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata bahawa sokongan mereka terhadap persada seni kreatif tempatan yang semakin berkembang mencerminkan komitmen mereka untuk berhubung dengan dan memberi kembali kepada masyarakat serta menceriakan kehidupan orang ramai melalui kreativiti dan inovasi.
“Kami percaya sepenuhnya bahawa seni memainkan peranan asas dalam memperkayakan kehidupan dan mengukuhkan ikatan masyarakat dalam komuniti kami, dan amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada NTFB tahun ini," ujarnya.
Setiap kumpulan akan membuat sebuah persembahan sebanyak dua kali pada hujung minggu. Persembahan teater akan disampaikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris berlangsung selama lebih kurang 50 minit.
Bengkel dan persembahan akan berlangsung di Pusat Seni Pro-Canselor UBD sehingga 11 Disember 2022.
Tiket untuk menghadiri persembahan bolehlah didapati dengan melayari laman sesawang NTFB ataupun juga boleh didapati di depan pintu masuk dengan harga BND13, manakala bagi pembelian tiket secara berkumpulan akan mendapat kadar diskaun.





Attachments
Created at 10/12/2022 12:03 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 10/12/2022 12:03 by Ak Hussni Bin Pg Hassan