Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Kem Sukan Atlet Berbakat tingkat jati diri, sahsiah atlet

‚Äč

infofoto_PenutupKAB.jpg


[ Sumber : Pelita Brunei ]
Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 

 

TEMBURONG, Khamis, 8 Disember. - Seramai 35 atlet negara menamatkan Kem Sukan Atlet Berbakat Ke-1, yang menutup tirainya dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil, di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Temburong, di sini. 

Program yang bermula pada 5 Disember tersebut diungkayahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) melalui Unit Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan (UKPS), Bahagian Sukan dengan kerjasama OBBD, di mana ia merupakan langkah proaktif dalam merancang program bagi membimbing atlet-atlet Skim Latihan JBS yang dikenal pasti ke arah perkembangan pembangunan keperibadian mereka, seterusnya cemerlang dalam bidang sukan. 

Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud. 

Atur cara penutup majlis dimulakan dengan ucapan daripada Atlet Sukan Bola Jaring, Dayang Najihah Basyirah binti Haji Mohammad Nizam selaku wakil peserta program, antara lain menjelaskan, kem tersebut adalah sangat mencabar dan ia membuatkan para peserta untuk keluar dari zon selesa mereka sendiri. 

Jelasnya, kem berkenaan juga mengajarkan mereka untuk berdikari dan mempelajari ertinya 'back-to-basic'. 

Seterusnya beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada para jurulatih dan ahli-ahli jawatankuasa yang bersama menjayakan program yang sangat bermanfaat tersebut. 

Majlis kemudiannya diikuti dengan Persembahan Sorak Semangat daripada para peserta kem. 

Acara diselajurkan dengan Penyampaian Sijil-sijil Penyertaan kepada setiap peserta program dan ucapan penutup oleh tetamu kehormat, antara lain berharap para peserta akan menjadi lebih bersemangat, berkeyakinan dan proaktif, dalam mempertingkatkan lagi prestasi dalam sukan masing-masing dengan menjalani latihan secara berterusan serta menunjukkan disiplin yang baik untuk mencapai kecemerlangan yang akan mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam. 

Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal seterusnya berharap kem tersebut akan menjadi platform yang bermanfaat kepada atlet-atlet muda agar dapat memberikan sumbangan yang positif pada pembangunan sukan di negara ini. 

"Saya juga berharap Kem Sukan ini akan terus dijalankan setiap tahun dan bukan sahaja ditumpukan bagi atlet-atlet muda dan pembangunan, akan tetapi kem seumpama ini juga perlu dilaratkan bagi atlet-atlet pelapis, kebangsaan dan atlet elit negara. 

''Perisian program ini juga perlu diteliti dengan mengambil kira keperluan dan kehendak sukan masing-masing bagi mempersiapkan atlet, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental, rohani dan patriotisme," tambahnya lagi. 

Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan Doa Selamat, diketuai oleh Pemangku Ketua Cawangan JBS Temburong, Awang Noramizul bin Haji Serbini. 

Kem Sukan tersebut disertai oleh sekumpulan atlet pelapis di bawah Skim Latihan JBS, terdiri daripada atlet sukan Bola Jaring, Catur, Karate, Lawan Pedang, Olahraga, Pencak Silat dan Tekwando yang berpotensi, terbaik serta berbakat untuk menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang menarik dengan menerapkan konsep Melayu Islam Beraja. 

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memberikan peluang berkongsi pengalaman dan pengetahuan, di samping mengumpulkan atlet-atlet pelapis skim JBS yang terbaik serta memberikan pendedahan yang berbentuk intensif, dalam suasana Kem Sukan bagi meningkatkan jati diri dan sahsiah atlet. 

Selain itu, program juga dapat melahirkan atlet yang berwibawa dan berketerampilan baik serta membentuk kerjasama dalam satu pasukan, seterusnya memupuk semangat patriotik, di samping meningkatkan tahap kecergasan dalam Bidang Sukan.


 


Attachments
Created at 10/12/2022 11:45 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 10/12/2022 11:45 by Ak Hussni Bin Pg Hassan