Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Pameran 'Seni untuk Semua' tonjol bakat kreatif OKU

DSC_1588.jpg  


[ Sumber: Pelita Brunei ]​
Berita : Haniza Abdul Latif 
Foto : Nur'amirah - KKBS, Sufyan Aiman - JAPEM


BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Disember. - Pameran 'Seni Untuk Semua' merupakan wadah bagi mempamerkan hasil seni kreatif Orang Kelainan Upaya (OKU) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kelainan keupayaan serta meningkatkan penghargaan atas hasil dan bakat golongan berkenaan. 

Perkara tersebut, antara yang dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari semasa Majlis Pelancaran Pameran 'Seni Untuk Semua' dan Logo Artisan Pusat Bahagia, yang diadakan di Galeri 4, Hab Tenaga Dermaga Diraja, di sini. 

Menurut Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin, pameran tersebut adalah kolaborasi gabungan hasil kreatif dari Pusat Bahagia bersama persatuan-persatuan, seperti Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, SMARTER dan La Vida. 

Tambahnya, pameran itu juga direka bentuk untuk mencabar stigma dan persepsi masyarakat mengenai had keupayaan (limitations) serta membuka peluang, dalam menonjolkan bakat-bakat dan membina rantaian positif dalam penilaian produk OKU. 

''Perkara ini juga diharap akan menggalakkan kerjasama di antara agensi-agensi reka bentuk (creative agencies) di negara ini untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja yang mempunyai kebolehan berbeza sebagai artis kreatif. 

''Para pengunjung pameran juga akan dapat menyelami pengalaman melihat seni dari mata hati orang berkelainan upaya. Dengan merujuk kepada Smithsonian Guidelines for Accessible Exhibition Design, pameran ini telah mengambil kira faktor aksesibiliti dan mengutamakan pengalaman inklusif, sebagai contoh, penggantungan lukisan di pandangan yang bersesuaian (eye level) bagi pengguna kerusi roda dan penyediaan 'tactile art','' ujarnya lagi. 

Terdahulu, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS berkata, bersempena Hari Antarabangsa OKU 2022, beberapa pencapaian besar dan peristiwa penting telah dicatatkan dalam meningkatkan inklusiviti serta ekosistem perlindungan golongan OKU di negara ini, selaras dengan hasrat dan objektif Pelan Tindakan OKU, di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS). 

Beliau turut menjelaskan, antara usaha KKBS untuk melindungi hasil hak cipta intelektual dan produk pelatih Pusat Bahagia ialah melalui perjanjian pelesenan (licensing agreement) yang telah selesai penyediaan bersama pihak Pejabat Peguam Negara semenjak awal tahun ini. 

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya melancarkan Pameran 'Seni Untuk Semua' dan Logo Artisan Pusat Bahagia, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad. 

Penciptaan Logo Artisan Pusat Bahagia adalah salah satu usaha, di bawah projek 'Revitalisation of Pusat Bahagia', yang diharap akan menaik taraf imej produk OKU yang berkualiti serta memberikan nilai tambah pada produk-produk penghasilan Pusat Bahagia agar lebih kompetitif dalam pasaran. 

Logo tersebut adalah hasil kerjasama bersama pereka tempatan Dream Makers, di mana pemilihan perkataan 'Artisan' adalah untuk mengubah persepsi masyarakat tentang penghasilan produk OKU. 

Pengarah Urusan dan Kreatif, Dream Makers Enterprise, Awang Muhammad Yamin bin Abdul Hamid ketika ditemui Pelita Brunei menjelaskan, penciptaan logo berkenaan melibatkan permainan warna, dengan pemilihan warna ungu yang merupakan gabungan warna biru, melambangkan OKU; dan warna merah, melambangkan peranan pihak kerajaan, khususnya di Pusat Bahagia. 

Jelasnya lagi, logo yang dicipta kelihatan mewah dan dengan penghasilan barang-barang atau produk-produk oleh OKU, ia sesuatu yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa. 

Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kanada ke NBD, Puan Yang Terutama Ambra Dickie; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Emily Fleckner; Setiausaha-setiausaha Tetap; Timbalan Setiausaha Tetap; Pegawai-pegawai Kanan daripada KKBS, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Pendidikan Khas, Manpower Planning and Employment Council (MPEC); wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); serta wakil dari syarikat-syarikat swasta, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dan persatuan-persatuan di bawahnya. 

Pameran 'Seni Untuk Semua' dibukakan untuk kunjungan orang ramai, bermula hari ini hingga 31 Disember 2022, jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam, pada setiap Selasa hingga Ahad. Pameran di tutup setiap Isnin sepanjang tempoh berkenaan.



Attachments
Created at 10/12/2022 11:42 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 10/12/2022 11:42 by Ak Hussni Bin Pg Hassan