Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita KKBS

Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei raikan golongan usahawan muda cemerlang


Livewire_2.jpg



[ Sumber : Pelita Brunei ]

Berita : Khartini Hamir

Foto : Hernie Suliana Haji Othman​





- SHELL LiveWIRE Brunei ialah syarikat pelaburan sosial utama Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. dengan visi untuk mengukuhkan ekonomi tempatan melalui menggalakkan keusahawanan, inovasi dan pekerjaan yang bermakna.

 

- SHELL LiveWIRE Brunei bermula dengan hanya tiga program, termasuk Idea Cerah, Menjadi Pengurus Pemilik Berjaya, dan Anugerah Perniagaan, hari ini, Shell LiveWIRE Brunei mempunyai 14 program berbeza memenuhi keperluan bakal usahawan, seperti Kem Kepimpinan, Siri Rancangan Perniagaan dan Kelas Induk.

 

- UNTUK mengetahui lebih lanjut sebarang aktiviti dan maklumat berkaitan dengan Shell LiveWIRE Brunei, bolehlah mengunjungi sosial media Instagram, '@livewirebrunei' atau '@shell.lwbn'.

 

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 November. - Shell LiveWIRE Brunei mengumumkan pemenang Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei 2022 dalam satu majlis khas, yang berlangsung di Hotel Mulia, di sini.

Seramai 52 pendaftar dan 47 penyertaan mengambil bahagian dalam anugerah perniagaan tersebut, di mana 28 penyertaan di bawah Kategori Terbuka; dan 19 penyertaan adalah dari Kategori Institusi Tinggi.

Hadir selaku tetamu kehormat yang kemudiannya menyempurnakan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

Juga hadir, Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum Company dan Pengerusi Shell Country di Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis.

Terdahulu, In-Country Value Manager, Brunei Shell Petroleum dan Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Dayang Hajah Rosita binti Haji Hassan, dalam ucapannya melahirkan rasa gembira atas penyertaan yang semakin meningkat dalam anugerah perniagaan ini, terutamanya penyertaan bagi institusi tinggi.

“Terdapat 19 penyertaan diterima pada tahun ini dalam anugerah perniagaan, berbanding hanya lima penyertaan, pada tahun lepas," jelas beliau lagi.

Beliau seterusnya berkongsi, bahawa Shell LiveWIRE Brunei sangat percaya keperluan untuk membangunkan komersial minda, dalam kalangan belia dan menjalankan HI-EP (Program Keusahawanan Institusi Tinggi - Higher Institutions Entrepreneurship Programme) untuk 3 tahun lalu.

Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei meraikan dan memberi ganjaran kepada golongan usahawan muda yang cemerlang di Negara Brunei Darussalam, yang mencadangkan rancangan perniagaan berkualiti tinggi dan berjalan dengan jayanya.

Sebanyak BND31,500 hadiah diberikan tahun ini, diagihkan di antara para pemenang pertama, kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori, iaitu Kategori Terbuka; dan Kategori Institusi Tinggi.

Fokus Anugerah Perniagaan mengenal pasti tujuh bidang utama dalam persaingan, antaranya dalam Bidang Agroteknologi; Peralihan Tenaga; Pengurusan Sisa; Pendigitalan; Edutainment; Impak Sosial; dan Pembuatan Pintar.

Projek berkenaan bermula pada Mei tahun ini, di mana para peserta menghadiri Bootcamp LiveWIRE selama empat hari, pada Julai; bengkel dua hari Siri Rancangan Perniagaan LiveWIRE, yang dikelolakan pada September; serta turut menerima bimbingan perniagaan sepanjang program tersebut berlangsung.

Acara diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi kategori masing-masing, di mana bagi Kategori Terbuka Pemenang Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Ke-15 dianugerahkan kepada Kaimana Living, yang memfokuskan pada bidang Kelestarian Alam Sekitar dan Kesan Sosial dan menerima wang tunai berjumlah BND10,000.

Kaimana ialah sebuah kedai sisa rendah pertama di Brunei dengan misi untuk menyediakan produk boleh isi semula yang mengalihkan pembungkusan sekali guna dari tapak pelupusan.

Perniagaan dan pasukan mereka terus berkembang dengan 100 peratus pasukan tempatan yang menyediakan peluang pekerjaan dan kepimpinan dalam peruncitan, tertumpu pada inisiatif kemampanan.

Kaimana juga komited untuk menyumbang kepada komuniti dengan menganjurkan bengkel, yang tertumpu pada inisiatif kemampanan dalam talian dan secara peribadi di kedai mereka.

Naib Johan disandang oleh Penchetak Company dengan membawa pulang wang tunai berjumlah BND7,000, sementara di tempat ketiga ialah Perusahaan Din Al-Islam dengan membawa pulang wang tunai BND5,000.

Manakala bagi Kategori Institusi Tinggi pula, tempat pertama dianugerahkan kepada Crop Culture, yang memfokuskan pada Bidang Agroteknologi dan Pembuatan Pintar (Smart Manufacturing), di mana pemenang membawa pulang wang tunai BND5,000.

Produk Crop Culture merupakan produk mesra alam dan diperbuat daripada bekas penghantaran kitar semula, yang direka bentuk semula dengan bahan yang sesuai untuk pertanian dalaman. Di dalamnya, ia akan dipasang dengan sistem pertanian vertikal yang lengkap dan pelbagai teknologi untuk memaksimumkan pengeluaran hasil.

Ini, termasuk pembelajaran mesin supaya ia boleh mengautomasikan proses pengeluaran, dan di luarnya pula, akan ada mesin layan diri yang dibina khusus, di mana pelanggan boleh membeli produk pertanian yang paling segar daripada mereka.

Naib Johan bagi Kategori Institusi Tinggi disandang oleh Mass Metal Trading, yang menerima wang tunai BND3,000, manakala tempat ketiga jatuh kepada LactucaLeaf.Bn, yang membawa pulang BND1,500.

Shell LiveWIRE Brunei ialah syarikat pelaburan sosial utama Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. dengan visi untuk mengukuhkan ekonomi tempatan melalui menggalakkan keusahawanan, inovasi dan pekerjaan yang bermakna.

Shell LiveWIRE Brunei bermula dengan hanya tiga program, termasuk Idea Cerah, Menjadi Pengurus Pemilik Berjaya, dan Anugerah Perniagaan, hari ini, Shell LiveWIRE Brunei mempunyai 14 program berbeza memenuhi keperluan bakal usahawan, seperti Kem Kepimpinan, Siri Rancangan Perniagaan dan Kelas Induk.

Untuk mengetahui lebih lanjut sebarang aktiviti dan maklumat berkaitan dengan Shell LiveWIRE Brunei, bolehlah mengunjungi sosial media Instagram, '@livewirebrunei' atau '@shell.lwbn'.


Attachments
Created at 24/11/2022 10:23 by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 24/11/2022 10:23 by Ak Hussni Bin Pg Hassan