Daerah Temburong, Negara Brunei Darussalam, Khamis, 23 Syaaban 1444 / 16 Mac 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-11 di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Daerah Temburong.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Padang Kawad, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Haji Sulaiman bin Haji Alidin, Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal bin Abdul Latif, Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Mulia Haji Zakaria bin Haji Serudin, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Mejar (Bersara) Haji Mohammad bin Dollah, Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara.
Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Peliharakan Sultan".
Seterusnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan untuk memeriksa Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-11 yang terdiri daripada seramai 539 orang Pelatih (403 orang lelaki dan 136 orang perempuan).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selanjutnya telah berkenan untuk menerima tabik hormat daripada perbarisan yang berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat.
Seterusnya, Baginda berkenan mengurniakan titah dan berkenan mengurniakan Anugerah kepada enam pelatih terbaik Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-11 iaitu:
- PELATIH LELAKI TERBAIK KAWAD : 13476 Muhammad Sukhairol Suharae Bin Abdulah Suhardi / Platun 7.
- PELATIH PEREMPUAN TERBAIK KAWAD : 13590 Nur Insyirah Batrisya Binti Hj Zainuddin / Platun 10.
- PELATIH LELAKI TERBAIK JASMANI : 13693 Mohammad Addey Bin Someun / Platun 1.
- PELATIH PEREMPUAN TERBAIK JASMANI : 13560 Rabiatul Adawiyah Binti Shahminan / Platun 9.
- PELATIH LELAKI TERBAIK KESELURUHAN : 13292 Muhammad Nur Iffat Fadlullah Bin Fandi / Platun 3.
- PELATIH PEREMPUAN TERBAIK KESELURUHAN : 13370 Hazirah Maisarah Binti Hamdillah / Platun 5.
Upacara diteruskan dengan laungan 'Tiga Kali Daulat' untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al- Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat.
Sebelum beredar dari Padang Kawad, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan diikuti dengan Perbarisan Tamat Latihan berjalan lalu dan keluar daripada padang perbarisan. Baginda kemudiannya berangkat menuju ke Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara bagi menyaksikan pameran daripada Tim Pusat Pengasingan Komuniti (Community Isolation Centre)-PKBN dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (pengendalian serta pelaksanaan Latihan Penyelarasan Kesiap siagaan Bencana Asas) sebelum Baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1, Blok 1, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara bagi santap ringan.
Mengiringi keberangkatan ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan seterusnya menandatangani Buku Lembaran Kenangan sempena keberangkatan Baginda di Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara.
Sebelum meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para pelatih dan seterusnya disembahkan dengan sebuah pesembah oleh Mejar (Bersara) Haji Mohammad bin Dollah, Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara sebagai menjunjung kasih diatas keberangkatan Baginda ke Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara di Dewan Kuliah, Blok 4, Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini menunjukkan bukti keprihatinan Baginda terhadap perkembangan Belia di Negara Brunei Darussalam terutama kepada para Pelatih Program Khidmat Bakti Negara ini. Disamping itu juga ianya menyuntik semangat para pelatih untuk terus aktif memainkan peranan sebagai belia yang berdikari, berdisiplin, berwawasan, berhemah, bertaqwa dan syumul dan terus menerus aktif mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang program setelah tamat menjalani Program Khidmat Bakti Negara agar dapat menabur bakti dan meningkatkan rasa cinta serta pengorbanan terhadap negara, bangsa dan agama sesuai dengan hasrat penubuhan Program Khidmat Bakti Negara.
Sejak Program Khidmat Bakti Negara ini ditubuhkan, Program Khidmat Bakti Negara telah mengeluarkan seramai 3,716 Alumni Program Khidmat Bakti Negara dan ini adalah termasuk jumlah Alumni Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-11. Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-11 telah dikendalikan serta dilaksanakan bermula 27 November 2022 dan berakhir pada 16 Mac 2023. Mereka ini dilatih oleh Pegawai/Jurulatih/Tenaga Kerja yang telah diperbantukan daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Askar Simpanan Melayu Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Outward Bound Brunei Darussalam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan sukarelawan professional yang dibantu oleh Alumni Program Khidmat Bakti Negara bagi sama-sama menjayakan Program Khidmat Bakti Negara ini.
