Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Berkenan merasmikan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja

N7402299.jpg

[ Sumber : Pelita Brunei]

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani - Penerangan
Foto : Mastinah - PSB, Md Nazib - DBP, Md Azry, Md Nasrullah - JMM,  Amira - KKBS

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Bangunan Lama Kastam dan Eksais Diraja, di ibu negara di sini dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murad.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah Perasmian disusuli dengan pukulan gong sebanyak tiga kali sebelum dijunjung bagi menandatangani Plak Perasmian Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

Sementara itu, sembah penerangan ringkas mengenai sejarah Bangunan Lama Kastam dan Eksais Diraja di Ruang Legar disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Muzium-Muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.

Bangunan Kastam dan Eksais Diraja dibina sekitar tahun 1950-an dan merupakan antara peninggalan seni bina kolonial yang dahulunya menempatkan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Setelah bangunan ini diwartakan di bawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam pada tahun 2006, bangunan ini dijadikan sebagai Bangunan Galeri Seni dan menjadi sebahagian dari Kompleks Waterfront dan Tugu Dirgahayu 60 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Kebawah DYMM beserta kerabat diraja seterusnya dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran Kekal Brunei Shell Joint Venture (BSJV) di Galeri 1.

Galeri tersebut bertemakan 'Masa Lalu Kita : Menjejaki Masa', yang memaparkan sejarah dan cara hidup di Negara Brunei Darussalam (NBD) sebelum penemuan minyak dan gas sehingga penerokaan pertama telaga minyak pada tahun 1899 serta impak penciptaan dan penemuan minyak di rantau ini dan seluruh dunia.

Turut dipamerkan mengenai sejarah NBD dan kehidupan rakyatnya sebelum kemunculan Industri Minyak dan Gas pada tahun 1929 dan bagaimana industri ini terus menjadi tulang belakang ekonomi NBD hingga ke hari ini.

Sembah penerangan mengenai galeri itu disampaikan oleh Pengarah Urusan BSP dan Shell Country Chair di NBD, Agnete Johnsgaard-Lewis dan Pengarah Sumber Tenaga Manusia Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn. Bhd, Dayang Hajah Zainab M. A. Omar.

Kebawah DYMM beserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat bagi menyaksikan Pameran Kekal BSJV di Galeri 2.

Sembah penerangan mengenai galeri ini disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG Sdn. Bhd., Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib.

Dengan membawakan tema Galeri 'Masa Kini Kita : Hasrat Negara', galeri ini mempamerkan keadaan Industri Minyak dan Gas pada ketika ini, termasuk sistem dukungan, 'value chain' dan rangkaian nilai Industri Minyak dan Gas.

BSP kini merupakan syarikat minyak dan gas terbesar di negara ini, dengan hampir 90 peratus daripada 4,000 pekerjanya yang terdiri daripada warga tempatan. BSP telah berjaya mempelbagaikan rangkaian kepada syarikat lain seperti Syarikat Brunei LNG Sdn. Bhd., Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn. Bhd. dan Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd.

Sebagai Pengasas Hab Tenaga Brunei, keempat-empat buah syarikat ini memainkan peranan penting dalam mengembangkan Sektor Minyak dan Gas huluan dan hiliran serta tenaga yang dapat diperbaharui bagi membolehkan NBD terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam industri ini.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM beserta kerabat diraja dijunjung berangkat ke ruang Viewing Deck di mana ruang ini menempatkan Telescope menghala ke Ayer Berkunchi, iaitu tempat penggerudian telaga minyak pertama pada tahun 1899 di kawasan Ayer Berkunchi berdekatan Bandar Brunei.

Sembah penerangan ringkas mengenainya disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, JPM, Awang Haji Azhar Haji Yahya.

Kebawah DYMM beserta kerabat diraja kemudian meneruskan lawatan ke Galeri 3, 'Masa Hadapan Kita : Pandangan Masa Hadapan Kita' dalam menerokai teknologi baharu ke arah transformasi Industri Minyak dan Gas yang lebih mapan.

Semasa memberikan sembah penerangan mengenai galeri tersebut, Dayang Hajah Zainab M. A. Omar antara lain menyentuh mengenai NBD telah menelusuri langkah dalam memulakan matlamat tenaga hijaunya serta cara mendukung inisiatif kerajaan ke arah masa hadapan yang rendah karbon dan penyelesaian tenaga yang lebih hijau yang merevolusikan atau meningkatkan industri tenaga.

Kebawah DYMM juga berkenan menerima pesambah daripada syarikat-syarikat BSJV. 

Kemudian Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung untuk menyaksikan Pameran Produk Orang Kelainan Upaya (OKU) terdiri daripada Pusat Bahagia, La Vida, Pusat Kegiatan Warga Emas, SMARTER Brunei dan Projek Pembinaan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta pameran dari Bank Islam Brunei Darussalam menerusi tanggungjawab sosial korporatnya.

Baginda juga seterusnya berkenan menyaksikan beberapa persembahan terdiri daripada Persembahan Seni Silat dari Skim Silat Jabatan Belia dan Sukan dan Muzik dari Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT) Kumpulan Seri Laila Irama; Pemukun dari Kelab Budaya Mukun Selendang Sutera Brunei Darussalam dan pelukis-pelukis tempatan, sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Setelah berangkat ke Galeri 4 : Galeri Seni, Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Pandu Khas Muzium Interaktif Minyak dan Gas Brunei sebelum baginda dijunjung menyaksikan pameran di galeri tersebut.

Galeri ini adalah sebagai platform untuk kegiatan kesenian tempatan, iaitu salah satu usaha ke arah mendukung pembangunan industri kreatif di negara ini.

Artwork Display yang dipamerkan adalah dengan kaedah 'adjustable / sliding panel'. Manakala artifak dipamerkan di atas modular 'sitting / plinth' dan tekstil dipamerkan dengan kaedah 'suspended display'. Galeri ini adalah dibukakan kepada penggiat seni yang berminat untuk mengadakan pameran sementara.

Sembah penerangan ringkas mengenainya disampaikan oleh Awang Haji Zakaria Omar dari Brunei Art Forum.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM beserta kerabat diraja dijunjung bagi Majlis Santap dan seterusnya berkenan menyertai sesi bergambar kenangan.

Projek Menaik Taraf Bangunan Kastam dan Eksais Diraja menjadi bangunan galeri ini ialah kolaborasi antara Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Syarikat BSJV dan Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd.

Pada 5 Mei 2021, satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara KKBS dan Syarikat BSJV dan Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd. untuk merealisasikan projek ini dan projek ini mula dilaksanakan pada 2 Disember 2020 dan telah selesai penaiktarafannya pada bulan Oktober 2022.

Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dibukakan kepada orang ramai pada setiap Sabtu hingga Khamis pada jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang dan ditutup setiap Jumaat.

 DSC_7274.JPG EnergyHub_DBP02.JPGIMG_8634.JPG EnergyHub_DBP01.JPG IMG_9071.JPG IMG_0087e1.JPGN7401906.jpg DSC_3344.jpg


 

Attachments
Created at 29/10/2022 10:19 by Pg Md Aziman Zul Husni Bin Pg Hj Md Hussin
Last modified at 22/11/2022 11:36 by Aminuddin bin Haji Abdul Ghaffar