Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTema Hari Kebangsaan


MENJAYAKAN WAWASAN NEGARA



Huraian Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38, Tahun 2022 :-


Dengan situasi negara kita dalam permulaan Fasa Endemik maka sudah tiba masanya kita menerima hakikat kehidupan cara baru dan memastikan kita melangkah setapak ke hadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata'ala. COVID-19 tidak sekali-kali menghalang kita daripada mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Wawasan Brunei 2035 ialah peta jalan, yang membentuk hala tuju kita dalam membangun bangsa dan negara.

Dalam sejarah pembangunan negara-bangsa, pelbagai cabaran telah ditempuhi. Kita tetap teguh sebagai satu bangsa dan satu negara yang bersatu padu mempertahankan kemerdekaan, mengharungi pelbagai cabaran, berkongsi tanggungjawab dan sama-sama berperanan ke arah pembangunan yang mampan dan berdaya tahan, ibarat kata pepatah "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

Wawasan Brunei 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasi bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya; kehidupan yang berkualiti; dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Ke arah mencapai wawasan tersebut, kita bersatu setia kepada Raja dan negara; mengamalkan nilai-nilai mulia; dan sifat berbaik-baik.

Gagasan dalam sama-sama bersatu padu menjayakan wawasan negara ini memastikan kita mesti bersatu padu sebagai sebuah bangsa merdeka, mesti mengikuti perkembangan dan mencipta kemajuan. Kemajuan itu terbahagi dua: kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual. Kemajuan fizikal dicapai dengan teknologi dan tulang empat kerat, sementara kemajuan spiritual pula digarap dengan belajar dan praktikal ibadat. Inilah cara kita mengisi kemerdekaan, iaitu dengan menjana kemajuan fizikal, sejajar dengan kemajuan spiritual. Kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk memenuhi tuntutan negara.

Kesurvivalan bangsa dan negara bergantung kepada rakyat dan penduduk yang beridentiti dan berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja, yang berganding bahu, mencurahkan tenaga dan fikiran. In syaa Allah, dengan adanya penggemblengan usaha-usaha daripada seluruh rakyat, penduduk dan pelbagai sektor yang berkepentingan dalam pembangunan negara ini, Negara Brunei Darussalam akan dapat mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035; akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat; dan menjadi sebuah Negara Zikir dan Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

 




Huraian Tema oleh:
Awang Haji Mohd. Abdoh bin Haji Awang Damit
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

Dr. Haji Mohd Ali bin Haji Radin
Dewan Bahasa dan Pustaka