Hubungi Kami | Maklum Balas | Site Map
Utama | Berita-Berita | Akitiviti-Aktiviti | Sejarah | Press Release | Carta Organisasi
 
 
Utama > Dasar-Dasar
Bahasa Melayu | English
 
 
Free Web Counter

 

 

 
 

Dasar-Dasar
  • Dasar Belia Negara
  • Dasar Sukan Negara
  • Dasar Kebudayaan Negara

Dasar Belia Negara

Latar Belakang dan Tujuan

Latar Belakang dan Tujuan

Negara Brunei Darussalam mempunyai penduduk yang sangat muda, kira-kira lebih separuh daripadanya berumur di bawah 25 tahun. Mereka yang berumur di antara 15 hingga 24 tahun merupakan jumlah terbesar daripada penduduk keseluruhannya. Manakala pelaburan dalam perkembangan belia adalah sangat penting di mana­mana negara pun kerana masa depan negara terletak pada mereka, perkara tersebut adalah lebih penting lagi di Negara Brunei Darussalam. Malah belia di Negara Brunei Darussalam adalah aset negara yang paling berharga.

Negara Brunei Darussalam telah lama menikmati keamanan dan kemakmuran tetapi masa depan akan membawa banyak cabaran dalam negara ini sendiri, serantau dan antarabangsa. Untuk memastikan cabaran-cabaran ini membawa kesan positif dan bukan sebaliknya, belia itu sendiri dan pihak yang bertanggungjawab bagi perkembangan mereka, iaitu keluarga, masyarakat, majikan dan Kerajaan mestilah menerima tanggungjawab masing-masing, terutamanya tanggungjawab untuk bekerjasama bagi perkembangan belia di Negara ini.

Cabaran-cabaran yang ada seperti pengangguran yang meningkat di kalangan belia, keperluan untuk memberentas penyalahgunaan dadah, dan memberikan lebih banyak galakan dan peluang bagi penglibatan belia dalam kehidupan sosial, ekonomi dan kebudayaan adalah ketara.

Dasar Belia Negara digubal untuk menyediakan rangka kerja bagi membimbing ke arah usaha-usaha tersebut.

Definisi Belia

Definisi Belia

Belia di Negara Brunei Darussalam adalah lelaki dan perempuan yang berumur 15 - 40 tahun, manakala Pemimpin Belia adalah tidak dihadkan umur.

Terdapat 152,700* orang dalam kumpulan yang berumur 15-40 tahun iaitu 45.l2% daripada jumlah penduduk. Daripada jumlah ini, 81,100 orang (53.1%) adalah lelaki dan 71,600 orang (46.9%) adalah perempuan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Profil Belia

Maklumat mengenai Negara Brunei Darussalam dan penduduknya yang muda dari sudut sosial dan kebimbangan dan ekonomi, diterangkan dalam Lampiran Profil Belia Negara.

Isu Sejarah dan Kontemporari yang Melibatkan Belia

Apa jua penunjuk yang digunakan -taraf kehidupan, pendapatan per kapita, tahap pekerjaan, kesihatan, penyertaan dalam pendidikan - Negara Brunei Darussalam adalah diberikan penilaian tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa arus sosial, kebudayaan dan ekonomi serta masalah kebimbangan yang perlu dikenalpasti dan ditangani oleh Dasar Negara, termasuk Dasar Belia Negara seperti berikut:

Pada tahun 2000 kadar pengangguran di kalangan penduduk adalah 4.6%* (lebih 6,543 orang) berbanding dengan 2.6% tahap purata pengangguran pada tahun 1993. Apa yang sangat membimbangkan ialah pengangguran ini terutamanya tertumpu pada belia. Sebagai contoh dikalangan yang berusia 20-24 tahun hampir 18%.

Sumber minyak dan gas yang menjadi tunggak ekonomi dan kemakmuran negara pada masa ini adalah terhad. Oleh kerana itu adalah perlu bagi negara ini untuk memajukan sektor pengeluaran dan pekerjaan lain serta meningkatkan lagi pengeluaran produk pertanian tempatan.

Negara telah melalui proses pembandaran. Walaupun ini suatu kemajuan tetapi langkah-langkah hendaklah diambil supaya proses pembandaran ini tidak menyumbang kepada kemorosotan luar bandar dan pertanian serta peningkatan masalah-masalah sosial.

Terdapat kemorosotan pertubuhan-pertubuhan belia/ kemasyarakatan dan usaha-usaha bantu diri di kalangan penduduk. Di antara tahun 1964 dengan tahun 1984, bilangan pertubuhan bukan kerajaan meningkat dari 20 kepada lebih 220. Tetapi pada hari ini dianggarkan kurang satu per tiga daripada pertubuhan-pertubuhan tersebut masih aktif, dan sebahagian besar belia sama ada tidak terlibat dalam pertubuhan belia atau tidak berminat untuk menubuhkan atau menghidupkan semula pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Pergantungan pada sektor awam bagi pekerjaan adalah salah satu faktor yang menyebabkan tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia. Daripada menganggap pekerjaan dalam sektor swasta (di mana sebahagian besarnya bergantung pada buruh asing) sebagai mempunyai taraf yang sama dengan sektor awam, atau memulakan perusahaan kecil, belia memilih untuk terus menganggur dan bergantung pada keluarga mereka. Di sini, sikap belia dan keluarga mereka perlu berubah.

Sungguhpun keluarga stabil, berpengaruh kuat dan memberikan sokongan baik kepada belia di negara ini, yang mana kesannya adalah positif, tetapi terdapat bahaya bahawa jika mereka berterusan bergantung terlalu lama kepada keluarga akan menjadikan mereka kurang berdikari dan tidak mengendahkan yang mereka adalah menganggur.

Walaupun kadar jenayah di negara ini rendah, terdapat kebimbangan yang jenayah di kalangan belia telah meningkat. Juga terdapat kebimbangan mengenai budaya lepak dan peningkatan masalah sosial di kalangan belia.

Revolusi maklumat dan teknologi di seluruh dunia, yang membawah fesyen dan imej-imej budaya lain, terutamanya budaya asing, ke pelusuk dunia dan rumah-rumah di Negara Brunei Darussalam, seiring dengan arus kehidupan di bandar, telah mengakibatkan kemerosotan kebudayaan dan tradisi tempatan, sehingga menjejaskan identiti dan kemajuan masa depan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Latar Belakang Perkembangan Perkhidmatan Belia

"Cawangan Belia" mula ditubuhkan dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1964. Sepuluh tahun kemudian, pada tahun 1974, Jabatan ini ditukar menjadi Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan. Pada tahun 1993, Jabatan Kebajikan Belia dan Sukan telah menjadi Jabatan Belia dan Sukan. Bahagian Kebajikan Masyarakat di Jabatan Kebajikan, Belia dan Sukan dicantumkan dengan Bahagian Hal Ehwal Masyarakat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menjadi Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dalam Kementerian ini terdapat juga Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei di bawah bidang kuasa Jabatan Muzium Brunei yang menyediakan latihan kemahiran pertukangan tradisional kepada belia-belia. Pada tahun 1996 Outward Bound Brunei Darussalam dan Pusat Pembangunan Belia ditubuhkan.

Di luar Sektor Kerajaan terdapat beberapa pertubuhan bukan-kerajaan. Di peringkat negara, pertubuhan - pertubuhan ini termasuk Majlis Belia Brunei yang ditubuhkan pada tahun 1959 yang mempunyai cawagannya di keempat-empat daerah, Pasukan Pengakap, Pasukan Pandu Puteri dan Pasukan Bulan Sabit Merah. Pertubuhan belia juga ditubuhkan di peringkat kampung.

Lain-lain Dasar yang Melibatkan Belia

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mempunyai dua dasar dan hendaklah dianggap sebagai pelengkap kepada Dasar Belia Negara iaitu Dasar Kebudayaan Negara yang diluluskan pada tahun 1996, dan Dasar Sukan Negara yang diluluskan pada tahun 1991. Program kegiatan sukan yang disediakan bagi belia termasuklah 'Sukan Untuk Masyarakat' dan 'Sukan Untuk Prestasi Tinggi'. Program-program ini ada diterangkan dalam Dasar Sukan Negara.

Dasar dan perkhidmatan yang disediakan bagi belia atau yang melibatkan belia juga terdapat di beberapa Kementerian, Jabatan dan Badan-Badan bukan kerajaan yang lain yang dihubungi oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kementerian dan Jabatan itu termasuklah:

Walau bagaimanapun, adalah diterima oleh semua institusi Kerajaan dan Swasta bahawa tanggungjawab sebenar mengenai hat ehwal kebeliaan terletak kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Oleh yang demikian adalah wajar bagi semua projek dan kegiatan kebeliaan yang dikendalikan oleh semua institusi, sama ada Kerajaan atau bukan kerajaan diselaras dan dihubungkan dengan Kementerian berkenaan.

Dasar Belia Negara

Dasar Belia Negara

Matlamat Dasar Belia Negara - "Mewujudkan Belia Brunei Cemerlang"

  • Menanam dan mengukuhkan pada belia nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja;
  • Memupuk rasa kepunyaan, patriotisme, beriltizam, berazam dan berhaluan yang jelas;
  • Memperkembangkan di kalangan belia pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisplin, dinamik, dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangunan negara di samping mengukuhkan kepaduan negara.
  • Menggalakkan penglibatan belia dalam perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan.

Nilai dan Prinsip yang menjadi Teras Dasar Belia Negara

Dasar Belia Negara adalah berteraskan perkara - perkara berikut:

Nilai:

Mengamal dan mengukuhkan nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.

Prinsip:

  • Mendukung kerasmian Ugama Islam dan menzahirkannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian belia sebagai satu cara hidup yang lengkap selaras dengan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.
  • Menyumbang kepada kehidupan bermasyarakat, bernegara dan perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan di Negara Brunei Darussalam supaya negara keseluruhannya dan belia khususnya dapat mengatasi dan mendapat faedah dari perubahan sosial, ekonomi dan teknologi yang pesat tanpa menjejaskan nilai peribadi dan kebudayaan mereka.
  • Menyumbang kepada pembinaan kesedaran diri, kepaduan, perkhidmatan kepada orang lain dan keeratan sosial di kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya di kalangan belia.
  • Menyumbang kepada perkembangan pengetahuan, kemahiran dan sikap peribadi yang dikehendaki di kalangan orang ramai, khususnya belia, bagi kemajuan negara, pekerjaan dan warganegara yang aktif dan produktif.
  • Membantu belia memperkembangkan kualiti peribadi yang penting seperti berdikari, kepimpinan, inisiatif, keyakinan, iltizam, daya usaha dan kreatif dan untuk menggalakkan ekspresi kualiti ini dalam pelbagai keadaan sosial dan ekonomi.
  • Memperluas penglibatan organisasi belia amnya dan Majlis Belia Brunei khususnya dalam pembangunan negara.
  • Membolehkan belia memperkembangkan kesedaran dan persefahaman antarabangsa, supaya menyedari kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam ASEAN, rantau Asia, Komanwel dan antarabangsa.
  • Menggalakkan pihak swasta mempunyai program khas bagi belia.

Keistimewaan dan Tanggungjawab Belia:

Selain dikukuhkan dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip tertentu yang telah dijelaskan, Dasar Belia Negara juga terletak pada pemahaman bahawa belia mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang diberikan oleh negara dan tanggungjawab yang negara mengharapkan mereka melaksanakannya. Dalam perkara ini keistimewaan dan tanggungjawab tersebut membentuk asas 'kontrak sosial' di antara belia dengan Kerajaan seperti berikut:

Keistimewaan Belia:

  • Mendapat perlindungan dari eksploitasi, diskriminasi atau penganiayaan;
  • Melakukan amalan dan ekspresi kepercayaan berugama dan kegiatan kebudayaan dalam rangka Perlembagaan Brunei;
  • Menubuhkan persatuan mengikut kehendak undang-undang;
  • Mendapat peluang pendidikan umum dan ugama, latihan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan - perkhidmatan penting yang lain yang bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran dan potensi manusia;
  • Mendapat peluang untuk lebih memahami dan menghayati kebudayaan negara;
  • Mendapat perkhidmatan yang diperlukan oleh belia yang berkeperluan khas atau belia yang tidak berkeupayaan;
  • Mendapat pengiktirafan disebabkan kualiti peribadi dan perkhidmatan melalui pemberian Anugerah seperti yang diberikan oleh Negara dan Anugerah Belia di peringkat serantau dan antarabangsa;
  • Mengistiharkan satu hari khas yang disebutkan Hari Belia Kebangsaan.

Tanggungjawab Belia:

  • Taat kepada Allah, Setia kepada Raja dan Cinta kepada Negara;
  • Untuk menghormati keperluan dan hak orang lain dan warga tua;
  • Untuk hidup dan bertindak mengikut ugama dan kebudayaan selaras dengan kehendak Perlembagaan Negara;
  • Untuk bertindak jujur dan boleh dipercayai;
  • Untuk memikul tanggungjawab peribadi bagi memelihara dan memperkembangkan kesihatan, pendidikan, kemahiran dan kualiti peribadi;
  • Untuk memikul tanggungjawab peribadi kepada keluarga dan masyarakat;
  • Untuk menyumbangkan secara aktif kepada kekukuhan dan kesepaduan masyarakat serta keamanan dan kesejahteraan negara keseluruhannya;
  • Mempertahankan kesucian Ugama Islam, menghayati ajaran-ajaran dan celik Al-Quran;

 

Huraian Matlamat Dasar Belia Negara:

Matlamat Dasar Belia Negara adalah seperti yang telah dinyatakan dalam huraian di atas. Matlamat Dasar ini diterangkan secara terperinci di bawah: Objektif Dasar, dan seterusnya di bahagian Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama.

Objektif Dasar 1: 

Mendukung Islam sebagai ugama rasmi dan menjadikannya satu cara hidup yang lengkap

Untuk menjadikan belia bertanggungjawab:

  • Menjadikan Al-Quran dan Assunah sebagai panduan hidup;
  • Memelihara dan mempertahankan kesucian Ugama Islam;
  • Memperlajari dan mengamalkan tuntutan Fardhu Ain dengan sempurna dan celik Al-Quran;
  • Menjadi warga yang taat beragama dan mempunyai akhlak mulia dan terpuji.

Objektif Dasar 2:

Menyumbang kepada ekonomi, kebudayaan dan masyarakat yang kukuh dan berlanjutan

Untuk membolehkan belia menghargai:

  • Keperluan untuk menyumbang kepada pencapaian ekonomi yang kukuh dan berlanjutan;
  • Keperluan untuk mendukung satu kebudayaan dan masyarakat yang kukuh dan bertenaga;
  • Penubuhan sebuah Yayasan Belia

Objektif Dasar 3:

Pemahaman dan Kesedaran

Untuk membolehkan belia memupuk:

  • Kesedaran diri dan rasa kepunyaan serta mempunyai hala tuju kehidupan yang sempurna;
  • Kefahaman tentang keperluan untuk bekerja dengan semangat perpaduan dengan orang lain;
  • Menghargai dan mengamalkan sikap pemedulian dan khidmat kepada orang lain dalam masyarakat;
  • Kebolehan untuk menyumbang bagi kesepaduan masyarakat dan negara;
  • Persefahaman antarabangsa.

Objektif Dasar 4:

Pengetahuan dan Kemahiran

Untuk membantu belia mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk:

  • Menyumbangkan secara positif kepada pembangunan negara;
  • Bersikap positif kepada pekerjaan;
  • Menjadi warganegara yang aktif dan penuh azam.

Objektif Dasar 5:

Sikap dan Kualiti Peribadi

Untuk menbantu belia memperkembangkan sikap dan kualiti peribadi yang penting dalam semua aspek kehidupan harian dan untuk mengekalkan penyataan sikap dan kualiti ini dalam pelbagai keadaan sosial dan ekonomi. Sikap dan kualiti ini antara lain termasuklah:

  • Beriman dan bertakwa
  • Taat dan setia kepada Raja
  • Patriotik
  • Patuh kepada undang-undang
  • Berdaya saing
  • Berdikari
  • Kepimpinan
  • Inisiatif
  • Keyakinan
  • Iltizam
  • Keusahawanan
  • Kreatif
Bidang Strategi Penting Dan Kumpulan Sasaran Utama

Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama

Rujukan telah dibuat kepada beberapa isu sejarah dan kontemporari yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam. Dalam Dasar Belia Negara perkara tersebut digambarkan dalam beberapa bidang strategi penting dan kumpulan sasaran yang dijadikan fokus perhatian utama Perkara itu adalah seperti berikut:

Pendidikan Perkembangan Diri

Apa jua yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dan pihak lain untuk mengutarakan kebanyakan isu yang melibatkan belia di Negara Brunei Darussalam, pada hakikatnya bergantung pada kesediaan dan kebolehan belia itu sendiri untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah yang mereka hadapi dan menggunakan peluang yang ada. Oleh itu strategi penting yang boleh didapati dalam semua kegiatan dan program belia yang dilaksanakan di bawah Dasar Belia Negara adalah perkembangan peribadi, termasuk prinsip-prinsip berugama, supaya belia memperkembangkan sikap peribadi dan kualiti yang diperlukan untuk melengkapkan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui sistem pendidikan dan skim latihan.

Pekerjaan dan Latihan Belia

Untuk menghadapi dua keperluan yang berkaitan iaitu mengatasi tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan menggalakkan lebih ramai daripada mereka bekerja di sektor swasta, maka skim latihan, penempatan kerja dan maklumat kerja/kerjaya telah diperkenalkan dan akan diperluaskan. Skim ini akan dikendalikan dengan kerjasama yang rapat dengan majikan Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang berkaitan. Oleh kerana keluarga juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas belia, mereka ini juga perlu sama dilibatkan. Bagi skim ini kumpulan sasaran utama adalah belia yang tercicir dari sekolah di peringkat pendidikan awal dan/atau mereka yang memiliki kelulusan pendidikan yang rendah kerana kumpulan inilah yang terdedah bukan sahaja kepada pengangguran tetapi juga kepada penyalahgunaan dadah dan jenayah kecil. Perkembangan peribadi juga merupakan tema yang utama bagi perkhidmatan ini.

Kepimpinan

Di bawah Dasar Belia Negara, dengan penekanan terhadap perkembangan peribadi, keutamaan akan diberikan untuk mengembangkan kebolehan dan kualiti kepimpinan belia seperti teladan yang digambarkan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Fokus terpenting di sini ialah untuk mengekang kemerosotan bilangan pertubuhan belia dan pertubuhan bukan-kerajaan negara ini. Selain daripada program latihan kepimpinan, sokongan dan latihan juga akan diberikan kepada pemimpin-pemimpin pertubuhan untuk memastikan yang mereka tetap kukuh dan komited dengan tanggungjawab mereka.

Daya Usaha

Gabungan perkembangan peribadi, pekerjaan, latihan dan kepimpinan diberikan fokus utama bagi menggalakkan dan membolehkan lebih ramai belia melibatkan diri dalam daya usaha ekonomi dan sosial. Melalui skim latihan, sokongan dan kewangan khas, termasuk sokongan aktif bagi penubuhan badan-badan koperasi sekolah, keutamaan akan diberikan untuk memajukan lebih ramai usahawan belia.

Persefahaman Antarabangsa

Keutamaan sentiasa diberikan untuk memastikan bahawa belia menyedari sepenuhnya akan kedudukan mereka, dan kedudukan negara mereka dalam ASEAN, rantau Asia, komanwel dan antarabangsa. Oleh itu program perhubungan dan pertukaran antarabangsa akan terus menjadi bahagian penting Dasar Belia Negara.

Perkhidmatan Kepada Orang Lain dan Negara

Sungguhpun Negara Brunei Darussalam pada keseluruhannya dan setiap individu penduduknya mesti berusaha untuk berjaya dan berdaya saing, tetapi terdapat bahaya bahawa perkara ini akan tercapai dengan mengorbankan sikap pemedulian sosial dan perpaduan di kalangan masyarakat. Tanda-tandanya sudah nampak yang sikap individualisme dan budaya pengguna telah mengakibatkan kehilangan nilai tradisi yang positif. Oleh yang demikian, perkhidmatan, program dan kegiatan kemasyarakatan yang ada sekarang akan dikembangkan dan dipertingkatkan serta diberikan keutamaan di bawah Dasar Belia Negara.

Bidang Strategi Utama
Kumpulan Sasaran Utama
Pada tahun 2000 kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam di kalangan penduduk tempatan adalah 4.6% * (lebih 6,543 orang), berbanding dengan 2.6% tahap purata pengangguran pada tahun 1993. Apa yang sangat membimbangkan ialah kenyataan bahawa pengangguran ini terutamanya tertumpu pada belia. Sebagai contoh di kalangan yang berusia 20-24 tahun hampir 18%.
Belia lepasan sekolah yang menganggur
Sumber minyak dan gas yang menjadi tunggak ekonomi dan kemakmuran negara pada masa ini adalah terhad. Oleh kerana itu adalah perlu bagi negara untuk memajukan sektor pengeluaran dan pekerjaan lain dan meningkatkan lagi pengeluaran produk pertanian tempatan.
Belia yang berfikiran singkat
Negara telah melalui proses pembandaran. Walaupun ini suatu kemajuan tetapi langkah-langkah hendaklah diambil supaya proses pembandaran ini tidak menyumbang kepada kemerosotan luar bandar dan pertanian serta peningkatan masalah-masalah sosial.
Belia yang terbiar
Terdapat kemerosotan pertubuhan-pertubuhan belia/kemasyarakatan dan usaha-usaha bantu diri di kalangan penduduk. Di antara tahun 1964 dengan tahun 1984, bilangan pertubuhan bukan­kerajaan meningkat dari 20 kepada lebih 220. Tetapi hari ini dianggarkan kurang satu per tiga daripada pertubuhan tersebut masih aktif, dan sebahagian belia atau tidak berminat untuk menubuhkan atau menghidupkan semula pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Belia "Malas Ku Ingau" atau belia tidak bersemangat

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Bidang Strategi Utama
Kumpulan Sasaran Utama
Pergantungan pada sektor awam bagi pekerjaan adalah satu satu faktor yang menyebabkan tahap tinggi pengangguran di kalangan belia. Daripada menganggap pekerjaan dalam sektor swasta (di mana sebahagian besarnya bergantung pada buruh asing) sebagai mempunyai taraf yang sama dengan sektor awarn, atau memulakan perusahaan kecil, belia memilih untuk terus menganggur dan bergantung pada keluarga mereka. Di sini, sikap belia dan keluarga mereka perlu berubah.
Belia kurang berdikari dan pemilih

Sungguhpun keluarga stabil, berpengaruh kuat dan memberikan sokongan yang baik kepada belia di negara ini, yang kesannya adalah positif, tetapi terdapat bahaya bahawa jika mereka berterusan bergantung terlalu lama kepada keluarga akan menjadikan mereka kurang berdikari dan tidak mengendahkan yang mereka adalah menggangur.

Belia dengan pengaruh negatif keluarga
Walaupun kadar jenayah di negara ini rendah, terdapat kebimbangan bahawa jenayah di kalangan belia telah meningkat. Juga terdapat kebimbangan mengenai budaya lepak dan peningkatan masalah sosial di kalangan belia.
Belia yang terbiar
Revolusi maklumat dan teknologi di seluruh dunia, yang membawa fesyen dan imej-imej budaya lain, terutamanya budaya asing, ke pelusuk kedai dan rumah-rumah di Negara Brunei Darussalam, seiring dengan arus kehidupan bandar, menyebabkan kemerosotan kebudayaan dan tradisi tempatan, sehingga menjejaskan identiti dan kemajuan masa depan.
Umum

Rancangan Tindakan Strategi

Rancangan Tindakan Strategi

Pembangunan Sukan

  • Pembangunan sukan negara bagi kedua-dua sektor aktiviti hendaklah dilaksanakan serentak secara kesinambungan (continuum), terselaras dan bersepadu, bukan sahaja antara dua sektor sukan tetapi juga antara satu program dengan program yang lain dalam sektor berkenaan seperti dicontohkan di bawah: ­
  • Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) yang meliputi tajuk-tajuk seperti (a) kepimpinan, (b) pengurusan, dan (c) sumber-sumber bagi tempoh lima tahun hendaklah disediakan untuk kedua-dua sektor aktiviti dan tiap-tiap program.
  • Sektor "Sukan Untuk Masyarakat" amatlah penting dan hendaklah diberi keutamaan dan penekanan yang lebih daripada sektor "Sukan Prestasi Tinggi". Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penyertaan yang aktif di kalangan masyarakat dan untuk mengukuhkan asas atau tapak ke arah melahirkan kemahiran bagi mencapai prestasi yang tinggi. Sebahagian besar daripada tujuan sukan negara akan tercapai melalui sektor "Sukan Untuk Masyarakat".
  • Bagi pembangunan sektor "Sukan Prestasi Tinggi" yang mengandungi tiga program yang terkemuka, bakat (tidak keseluruhannya), pelapis dan elit, adalah wajar semua jenis sukan yang berjumlah lebih daripada 30 dimajukan serentak tetapi hanya beberapa jenis sukan sahaja diutamakan. Pemilihannya hendaklah berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu, seperti mutu semasa dan potensi, persediaan dan perancangan dan multi pengurusan persatuan termasuk teknikal.
  • Penyertaan atlit dan pasukan negara di kejohanan anjuran persekutuan sukan, seperti Sukan SEA hendaklah dihadkan kepada sukan yang boleh memperlihatkan mutu walaupun pendedahan di kalangan antarabangsa terus digalakkan.

Kepimpinan

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

  • Antara rancangan tindakan strategi yang akan diutamakan ialah kepimpinan yang melibatkan struktur organisasi, pembahagian peranan, kuasa dan tanggungjawab di pihak Kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sukan.
  • Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus memimpin, menggalak dan membantu pembangunan dan perkembangan sukan ­ bertanggungjawab dalam perkara dasar dan penyelarasan.
  • Sebuah undang-undang mengenai sukan, iaitu "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" adalah dicadangkan. Antara perkara-perkara terkemuka ialah: ­
    • Peranan, kuasa dan tanggungjawab Menteri;
    • Penubuhan sebuah Jabatan Sukan dan Rekreasi;
      Penubuhan Majlis Penasihat Kebangsaan Sukan; dan
    • Penubuhan sebuah Yayasan Sukan Kebangsaan.

Kementerian Pendidikan

Kementerian Pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tidak kurang penting untuk pembangunan sukan negara (a) dasar pelajaran negara dapat memberi sumbangan dan penggalakkan kepada dasar sukan negara, (b) murid-murid sekolah dan penuntut institusi pelajaran tinggi merupakan kumpulan sasaran yang besar dan penting bagi program di kedua-dua sektor sukan dan (c) guru-guru merupakan sumber jurulatih dan pegawai yang penting.

Antara sumbangan Kementerian Pendidikan ialah: ­

  • Penggubalan kurikulum persekolahan yang menggalakkan perkembangan aktiviti sukan dan pendidikan jasmani;
  • Penggubalan kurikulum latihan guru yang menggalakan perkembangan pendidikan jasmani dan kejurulatihan;
  • Perancangan dan pelaksanaan program mencungkil bakat dan potensi ke arah kecemerlangan sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan sukan negara;
  • Penubuhan "Pusat Cemerlang" bagi beberapa jenis sukan tertentu;
  • Persediaan menubuhkan "Sekolah Sukan"; dan
  • Penubuhan sebuah majlis sukan sekolah-sekolah bagi memperkemaskan pengurusan dan perlaksanaan program termasuk pertandingan di dalam dan di luar negeri.
  • Kementerian dan Jabatan Kerajaan hendaklah mempertingkatkan lagi usaha memajukan sukan dan rekreasi di kalangan pegawai dan kakitangan melalui program yang berperancangan. Sebuah majlis penyelaras dicadang dan ditubuhkan.

Pertubuhan Sukan

  • Keberkesanan dasar sukan negara dan pelaksanaan segala program sukan, sebahagian besarnya, terletak ke atas persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Selain daripada itu, pertubuhan dan kelab belia/sukan turut bertanggungjawab untuk mempertingkatkan penyertaan.
  • Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sebagai anggota Interna­tional Olympic Committee dan memperjuangkan "semangat olimpik" dan menyelaraskan persatuan sukan kebangsaan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk membangun dan memajukan sukan terutama ke arah kecemerlangan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya majlis ini berfungsi lebih aktif menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Penubuhan pertubuhan sukan yang boleh memberi khidmat sokongan seperti persatuan sains sukan dan persatuan jurulatih clan sebagainya hendaklah digalakkan.

Pengurusan

  • Rancangan tindakan strategi hendaklah mewujudkan "professionalism" dan kecekapan dalam bidang pengurusan di kalangan sektor bukan Kerajaan seperti Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Antara rancangan yang dicadangkan di bawah satu skim bantuan pengurusan sukan ialah:
    • Menubuhkan sebuah unit khas di Kementerian atau di Jabatan untuk menyelaras perkara-perkara pengurusan dan teknikal dengan persatuan-persatuan dan pertubuhan sukan
    • Perlantikan seorang setiausaha kerja sepenuh masa untuk kerja-kerja pentadbiran dan perancangan (sebagai permulaan beberapa persatuan sukan yang tertentu sahaja akan terlibat).
    • Menempatkan beberapa persatuan sukan kebangsaan secara satu kumpulan di sebuah "Balai Sukan" atau "Sport House" yang menggunakan perkhidmatan guna sama kakitangan, alat kelengkapan pejabat, perkhidmatan penerbitan, perpustakaan dan lain-lain.

Kejurulatihan

  • Masalah yang mendesak dalam pembangunan sukan tanahair ialah kejurulatihan, baik dari segi jumlah mahupun kelayakan dan pengalaman dan sistem persijilan yang seragam. Maka hendaklah ditubuhkan sebuah Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan anjuran Kerajaan untuk menyelaras dan membantu persatuan-persatuan sukan. Lembaga hendaklah mewujudkan satu kurikulum kejurulatihan dan skim persijilan yang diiktiraf bersama oleh Kerajaan dan persatuan sukan kebangsaan ke arah menjadikan kejurulatihan sebagai satu profesyen.

Kemudahan Sukan

  • Berbagai-bagai kemudahan sukan telah disediakan dan dirancang oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian/]abatan, seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan. Kemudahan-kemudahan ini pada keseluruhannya dapat memenuhi kehendak semasa. Walau bagaimanapun terdapat kelemahan dari segi penyelarasan penggunaan kemudahan-kemudahan tersebut yang menimbulkan keadaan penggunaan yang tidak maksima. Taburan (distribution) dan penyelenggaraan kurang menggalakkan kemajuan sukan terutama di sektor "Sukan Untuk Masyarakat".
  • Satu rancangan kasar peringkat awal (blueprint) untuk tempoh 20 tahun berkenaan kemudahan sukan hendaklah disediakan berpandukan kepada strategi kedua-dua sektor aktiviti sukan, serta merangkumkan rancangan yang sedia ada, yang mana sesuai.
  • Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan hendaklah berperanan sebagai penyelaras bagi rancangan kemudahan sukan di sektor Kerajaan dan di sektor bukan kerajaan. Satu garispandu ke arah penyelarasan penggunaan hendaklah disediakan selepas perbincangan dengan agensi-agensi tuan punya/penyelenggara dan pihak pengguna seperti persatuan sukan kebangsaan.
  • Pihak berkuasa yang merancangkan pembangunan bandar dan desa dan alam sekitar hendaklah memasukkan rancangan kemudahan sukan dan rekreasi mengikut dasar, pawaian, spefikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan berpandukan "blueprint" yang disediakan.

Kewangan

  • Sehingga ini hampir keseluruhan sumber kewangan untuk pembangunan dan kemajuan sukan bergantung kepada sumber Kerajaan. Dasar Sukan Negara menekankan supaya lama-kelamaan dan setapak demi setapak semua program sukan dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangannya sendiri dan semua program dapat diungkayahkan tanpa masalah kewangan.

Yayasan Sukan

  • Sebuah Yayasan Sukan Negara (National Sports Foundation) dicadang ditubuhkan di bawah "Brunei Darussalam Sports and Recreation Act" sebagai sumber kewangan dan agensi pembangunan ekonomi belia dan sukan. Selain daripada pemberian pelancaran Kerajaan dan derma dan sumbangan daripada sektor swasta, sebahagian besar aset-aset Yayasan akan diperolehi daripada orang ramai, terutama masyarakat belia dan sukan melalui pembelian saham dan sebagainya.
  • Yayasan akan mengambil langkah-langkah menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan belia dan sektor sukan seperti pelaburan, pembuatan (manufacturing) alat-alat sukan dan mengadakan kejohanan antarabangsa yang menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan dan "celebrity".

Penggalakan (Insentif)

  • Usaha-usaha penggalakan kepada atlit, jurulatih dan pegawai hendaklah diperting­katkan kerana ia amat penting untuk menggalakkan kepimpinan dan meningkatkan kecemerlangan. Antara insentif ini, ialah pemberian pelancaran, subsidi tahunan untuk pentadbiran bagi kelab dan persatuan belia dan sukan yang mempunyai program ke arah memajukan "Sukan Untuk Masyarakat", hadiah kemenangan, bantuan perbelanjaan latihan di dalam dan di luar negeri, elaun "tuition", cuti, biasiswa, peluang pekerjaan, anugerah, perlindungan insurans dan sebagainya. Penggalakan ini hendaklah juga untuk pemimpin dan pegawai, termasuk jurulatih. Skim penggalak khas hendaklah juga diwujudkan untuk orang-orang cacat. Pihak sektor bukan Kerajaan, selain daripada menyokong tindakan Kerajaan, perlu juga menawarkan insentif untuk peningkatan mutu sukan di kalangan mereka.
  • Pemansuhan cukai import ke atas alatan sukan dan pertumbuhan industri sukan rekreasi dan pelancongan adalah satu daripada insentif yang akan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sukan.

Biasiswa

  • Satu skim biasiswa sukan untuk atlit yang berpotensi akan dapat mempertingkatkan kemahiran dan kecemerlangan mereka sambil meneruskan peningkatan bidang akademik. Ia dapat mengikiskan andian bahawa sukan itu satu faktor negatif dan penghalang kepada kemajuan akademik seseorang. Adalah wajar juga diwujudkan satu skim latihan melalui hadiah biasiswa untuk pegawai-pegawai sukan, terutama dari golongan guru-guru untuk mempertingkatkan mutu kejurulatihan dan pengetahuan sukan.
Kesimpulan

Kesimpulan

Dokumen dasar ini hendaklah dibaca bersama-sama Lampiran untuk menampakkan gambaran yang menyeluruh.

Juga dalam Bidang Strategi Penting dan Kumpulan Sasaran Utama, perhatian prioriti adalah pada enam bidang penting - A. Pendidikan Perkembangan Diri, B. Pekerjaan dan Latihan Belia, C. Kepimpinan, D. Daya Usaha, E. Persefahaman Antarabangsa, dan F. Perkhidmatan Kepada Orang Lain dan Negara, dan bagi pekerja-pekerja belia, rangka kerja tertentu akan disediakan bagi setiap bidang berkenaan.

Pada kesimpulannya, tujuan Dasar Belia Negara dapat dikategorikan seperti berikut:

  • Kerasmian Ugama Islam - mendukung kerasmian Ugama Islam dan menzahirkannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian belia sebagai satu cara hidup yang lengkap selaras dengan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja;
  • Solidariti - membina pertimbangan tekad dan kepaduan di kalangan belia, bahkan di kalangan semua warganegara;
  • Pekerjaan, pembinaan peribadi dan latihan - membina sikap positif, kemahiran dan kualiti di kalangan belia yang perlu bagi pekerjaan (terutamanya di sektor swasta);
  • Daya usaha, berdikari dan kepimpinan - menggalak dan membolehkan belia berkeyakinan sendiri, kreatif, berinisiatif, menyelesaikan masalah, menubuhkan perusahaan baru, dan mengambil peranan kepimpinan.
  • Perkembangan pertubuhan dan kegiatan yang dikendalikan oleh belia - memberikan belia peluang dan motivasi untuk lebih berdikari dan lebih bertanggungjawab dalam urusan mereka;
  • Kekukuhan dan kepaduan negara - membina ekonomi yang kukuh dan berlanjutan dan sebuah masyarakat yang mampu mengatasi perubahan cepat di bidang sosial, ekonomi dan teknologi.

Disebabkan terdapat kepelbagaian yang tinggi di kalangan belia di mana setiap individu mempunyai keinginan, kebolehan, ciri-ciri keperibadian, keadaan, minat dan aspirasi yang berlainan semakin meluas khidmat dan kegiatan yang disediakan, semakin tinggi kemungkinan matlamat Dasar Belia Negara dapat dicapai.

Khidmat dan kegiatan tersebut mestilah tergolong ke dalam dua kategori besar:

  • "Kegiatan belia" - penglibatan belia dalam aktiviti yang sihat dan menyeronokkan di mana pembangunan peribadi dan sikap merupakan hasil sampingan;
  • "Kegiatan pembangunan belia" - penglibatan dan penyertaan belia dalam program yang khusus dirancang bagi merangsang perkembangan dan pertumbuhan sikap, dan kualiti motivasi, daya usaha, kepimpinan dan sifat berdikari. Kegiatan-kegiatan itu bukan dihasratkan untuk mengisi masa tetapi untuk membentuk belia menjadi insan yang baik keseluruhannya.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Kementerian utama adalah bertanggungjawab menyelaras dengan pihak-pihak lain mengenai hal ehwal kebeliaan, program atau kegiatan yang Kementerian-Kementerian dan Jabatan­Jabatan berkaitan mempunyai kepentingan. Kementerian ini hendaklah dibawa berunding dan dimaklumkan tentang pendaftaran atau pembatalan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan belia supaya perlembagaan dan lain-lain undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut tidak akan bercanggah dengan prinsip-prinsip dan penyataan-penyataan Dasar Belia Negara.

lnisitif yang diambil untuk mencapai dasar-dasar dan hasil-hasil yang dikehendaki melalui program dan projek yang telah dikenalpasti adalah dihasratkan untuk meliputi semua(atau sekurang-kurangnya sebahagian besar) belia di Negara Brunei Darussalam. Kejayaan hasrat sedemikian cuma akan tercapai sekiranya semua Kementerian dan Jabatan berkaitan, semua sektor masyarakat dan semua lapisan golongan adalah terlibat dengan penuh azam. Kejayaan itu tidak dapat dicapai cuma dengan dasar-dasar dan tindakan-tindakan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumber-Sumber mithalnya kewangan yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan adalah sederhana berbanding dengan kemungkinan kerugian yang akan dialami sekiranya tanda-tanda penyakit sosial dalam perkara-perkara kemerosotan nilai-nilai keluarga, pengangguran, sikap malas ku ingau dan lain­lain tidak ditangani dengan sempurna.

Lampiran Profil Belia Negara

Lampiran Profil Belia Negara

Penduduk

Pada pertengahan tahun 2000 * penduduk Negara Brunei Darussalam dianggarkan seramai 338,400 orang. Pada masa itu kadar purata pertumbuhan penduduk adalah dianggarkan 2.3% setahun.

Etnik dan Ugama

Negara Brunei Darussalam ialah negara Islam. 67.8% penduduknya adalah Melayu terdiri daripada puak asli iaitu Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Belait, Bisaya, Dusun dan Murut; 14.8% orang Cina dan 5.9% puak asli Iban, Dayak dan Kelabit; dan selebihnya, 11.4% adalah rakyat asing yang kebanyakannya pekerja asing.

Taburan Penduduk

Negara Brunei Darussalam terdiri daripada 4 daerah: Daerah Brunei-Muara, Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong. Kebanyakan penduduk tinggal di kawasan bandar. Taburan penduduk daerah ditunjukkan dalam Jadual 1.

Jadual 1 : Taburan Penduduk Menurut Daerah
Daerah
% Penduduk

Brunei – Muara

66.2%

Belait

20.2%

Tutong

10.8%

Temburong

2.8%

Penduduk Belia

Negara Brunei Darussalam mempunyai penduduk yang terdiri dari generasi muda. Terdapat 261,800 penduduk yang berumur di bawah 39 tahun mewakili kira-kira lebih 77.4% daripada jumlah penduduk. Kumpulan yang ditakrifkan sebagai Belia bagi tujuan Dasar Belia Negara adalah yang berumur 15-40 tahun, manakala Pemimpin Belia adalah tidak dihadkan umur.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Struktur dan Pengaruh Keluarga

Secara tradisi, sistem keluarga besar telah berakar umbi di kalangan struktur keluarga di Negara Brunei Darussalam. Sistem ini telah berjaya membantu ahli keluarga dari segi keperluan peribadi, kebendaan, kewangan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kemanusiaan. Namun begitu jika golongan muda terus bergantung kepada keluarga mereka sistem ini akan melemahkan sifat berdikari.

Sekarang kecendurungan kepada keluarga asas sudah mulai nampak di Negara Brunei Darussalam. Tanpa sokongan sampingan daripada sistem keluarga luas, sistem keluarga asas dapat menggalakkan orang menjadi bersifat individualistik.

Kesihatan, Pendidikan, Celik Huruf dan Pendapatan

Pelbagai penunjuk menunjukkan bahawa penduduk Negara Brunei Darussalam adalah masyarakat yang sihat. Dalam tempoh 20 tahun iaitu dari 1971-1991 jangka hayat di kalangan lelaki meningkat dari 62 tahun kepada 72 tahun, dan di kalangan perempuan dari 62 tahun kepada 76 tahun. Kadar kematian anak damit sekarang adalah 2.8 per 1,000 lahir hidup berbanding dengan 11 pada tahun 1993.

Pendidikan dari peringkat rendah ke peringkat menengah adalah disediakan oleh Kerajaan dan pendaftaran dalam pendidikan adalah tidak wajib tetapi universal. Dasar Pendidikan Negara menyatakan bahawa kerajaan akan menyediakan sekurang-kurangnya 12 tahun pendidikan bagi setiap anak Brunei, iaitu 7 tahun dalam pendidikan rendah (termasuk pra-sekolah), 3 tahun dalam menengah bawah dan 2 tahun dalam menengah atas atau dalam sekolah vokasional atau maktab teknik.

Kadar celik huruf telah meningkat sejak tahun 1971. Pada tahun itu 78.4% lelaki dan 58.8% perempuan sudah celik huruf. Menjelang tahun 2000 ia telah meningkat kepada 94.6% bagi lelaki dan 90% bagi perempuan.

Pada tahun 2000 Per Kapita Keluaran Negara Kasar (GDP) bagi Negara Brunei Darussalam adalah kira-kira B$23,600 (US$13,880).

Tenaga Buruh

Bekal tenaga buruh di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1999* berjumlah 140,000 orang, iaitu 88,300 lelaki dan 51,700 perempuan. Daripada jumlah ini, 133,500 adalah bekerja: 87,700 lelaki dan 47,800 perempuan. Kadar penyertaan tenaga buruh adalah tinggi bagi lelaki (64.2%) dan lebih rendah bagi perempuan (35.8% ).

Daripada 106,750 tenaga buruh pada tahun 1991, 58% terdiri dari orang tempatan dan 42% pekerja asing (kebanyakannya dari negara-negara ASEAN). Peratus pekerja asing berkurangan pada masa ini ekoran penghantaran balik pekerja-pekerja tersebut disebabkan oleh kemelesetan ekonomi. Angka sebenar tidak dapat diperolehi kerana jumlah pengambilan sentiasa berubah mengikut permintaan pemasaran. Pergantungan yang tinggi kepada buruh luar berterusan hingga ke hari ini.

Pekerjaan

Kerajaan merupakan majikan tunggal yang terbesar di Negara Brunei Darussalam dengan lebih 45% tenaga buruh pada tahun 1991. Pada tahun yang sama terdapat seramai 23,800 di sektor pengeluaran, iaitu 60% daripada pekerja asing. Walau bagaimana pun angka ini tidak lagi digunakan sekarang disebabkan ramai yang sudah dihantar balik.

Pengangguran

Pada tahun 2000 kadar pengangguran di Negara Brunei Darussalam di kalangan penduduk tempatan adalah 4.6% * (lebih 6,500 orang), berbanding dengan 2.6% tahap purata pengangguran pada tahun 1993.

Apa yang membimbangkan ialah pengangguran lebih tertumpu kepada golongan belia. Terdapat di kalangan mereka yang berumur 15-19 tahun yang tidak meneruskan persekolahan. 41 % daripada mereka ini tidak melakukan aktiviti yang berfaedah dari segi ekonomi. Di kalangan belia yang berumur 20-24 tahun hampir 18% daripada mereka adalah menganggur. Bagi kedua-kedua kumpulan ini, peratus pengangguran adalah lebih tinggi di kalangan perempuan berbanding dengan lelaki. Angka ini menunjukkan bahawa usaha serius adalah diperlukan bagi mengatasi masalah ini bagi memudahkan belia-belia yang telah mencapai umur mendapat pekerjaan.

* Brunei Darussalam Key Indicators 2000

Arus Sosial, Ekonomi dan Kebimbangan Lain

Apa juga penunjuk yang digunakan sama ada taraf kehidupan, pendapatan, per kapita, tahap pekerjaan, kesihatan atau penyertaan dalam pendidikan, Negara Brunei Darussalam adalah pada tahap yang tinggi. Di samping masalah pengangguran yang sebutkan di atas, terdapat arus sosial dan ekonomi dan kebimbangan lain yang perlu dikenalpasti dan ditangani oleh Dasar Negara, termasuk Dasar Belia Negara. lni termasuk:

Sumber minyak dan gas yang menjadi tunggak ekonomi dan kemakmuran negara pada masa ini adalah terhad. Oleh itu sektor pengeluaran dan pekerjaan lain perlu dimajukan sementara penghasilan keluaran pertanian tempatan yang semakin merosot pada tahun-tahun kebelakangan ini hendaklah dikekang dan dimajukan semula.

Negara telah melalui proses pembandaran. Walaupun ini suatu kemajuan tetapi langkah-langkah hendaklah diambil supaya proses pembandaran ini tidak menyumbang kepada kemerosotan luar bandar dan pertanian serta peningkatan masalah-masalah sosial.

Terdapat kemerosotan pertubuhan-pertubuhan belia/kemasyarakatan dan usaha-usaha bantu diri di kalangan penduduk. Di antara tahun 1964 hingga 1984, bilangan pertubuhan bukan kerajaan bertambah dari 20 kepada 220. Tetapi pada hari ini dianggarkan kurang satu per tiga daripada pertubuhan­pertubuhan ini masih aktif, dan sebahagian besar belia sama ada tidak terlibat dalam pertubuhan belia atau tidak berminat untuk menubuhkan atau menghidupkan semula pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Pergantungan pada pekerjaan di sektor awam merupakan salah satu faktor yang menyebabkan tahap pengangguran yang tinggi di kalangan belia. Daripada bekerja dengan sektor swasta (di mana sebahagian besarnya bergantung kepada buruh luar) yang mereka anggap rendah tarafnya dari sektor awam, belia lebih suka terus menganggur dan bergantung pada keluarga mereka. Di sini, sikap belia dan keluarga mereka perlu berubah.

Walaupun kesetabilan keluarga dengan pengaruh dan sokongan kuat kepada orang-orang muda di Negara Brunei Darussalam memberikan kesan yang positif, dikhuatiri jika mereka berterusan bergantung terlalu lama kepada keluarga akan menjadikan mereka kurang berdikari dan tidak mengendahkan yang mereka adalah menganggur.

Walaupun Negara Brunei Darussalam mempunyai kadar jenayah yang rendah, terdapat kebimbangan bahawa kadar jenayah di kalangan belia adalah meningkat. Juga terdapat kebimbangan akan perkembangan budaya lepak di kalangan belia, dan tentang meningkatnya masalah sosial di kalangan mereka.

Revolusi maklumat dan teknologi di seluruh dunia, yang membawa fesyen dan imej budaya lain, terutamanya budaya asing, ke pelusuk kedai dan rumah-rumah di Negara Brunei Darussalam, seiring dengan arus kehidupan di bandar, telah mengakibatkan kemerosotan kebudayaan tempatan dan tradisi tempatan, sehingga menjejaskan identiti dan kemajuan masa depan.


[ atas ]

Dasar-Dasar

  • Dasar Belia Negara
  • Dasar Sukan Negara
  • Dasar Kebudayaan Negara

 

 

 

 

 
 
 

Jabatan
Pusat Sejarah

Dewan Bahasa
dan Pustaka

Jabatan
Muzium-Muzium

Pusat Pembangunan Belia

 
Last updated on 25 February, 2010
2009 © Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hak Cipta Terpelihara