Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PENGHORMATAN UNTUK ADI RUMI

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Disember 2020 - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned atau lebih dikenali dengan nama Adi Rumi dalam dunia penulisan, telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa, sastera, agama dan budaya serta negara melalui penghasilan karya-karya sastera Islam yang unggul dan berkualiti.

Atas sumbangan tersebut, Adi Rumi diangkat sebagai penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKI) pada tahun 2013 oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Majlis Multaqa Sasterawan Islam Brunei: Adi Rumi berlangsung malam tadi di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, di sini.

 22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (8).jpg

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, usaha DBP dalam memberikan apresiasi dan penghargaan kepada penulis-penulis tanah air yang telah menerima anugerah, giat dilaksanakan sebagai inisiatif dan strategi jabatan ini bagi menggalakkan dan mendorong generasi muda khasnya untuk menghasilkan penulisan yang mampu menyumbang kepada pembangunan tamadun bangsa.

 22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (6).jpg

"Alhamdulillah, baru-baru ini, DBP telah menjayakan satu majlis apresiasi, iaitu Majlis Bersama Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), 1986-2019. Projek ini memberikan peluang kepada penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara menyuarakan pemikiran, pendapat dan saranan dalam sama-sama membantu KKBS dan DBP menanai tanggungjawab, dan mengangkat serta memperkasa bahasa dan persuratan Melayu. 'Wira Bahasa' idea fikir yang dikongsikan oleh Adi Rumi pada pertemuan tersebut. Menurut Adi Rumi, 'Wira Bahasa' ini penting dalam menangani situasi yang kita alami, iaitu kemelut atau krisis bahasa Kemelut bahasa berlaku apabila warganegara menyisihkan atau tidak menggunakan bahasa Melayu dan lebih gemar menggunakan bahasa asing. Hal ini tidak dapat diragui lagi sebagai satu kemelut atau krisis dalaman yang setentunya memerlukan ubat dan rawatan daripada doktor yang berstatus wira bahasa! Suara dan semangat daripada wira bahasa amat diperlukan. Dalam hal ini, Adi Rumi mempersoalkan jika negara kita sudah mempunyai ciri-ciri wira seperti itu? Inilah yang ditanggapi oleh DBP penerima-penerima Anugerah sebagai Wira Bahasa yang didepankan kedudukannya untuk mendangani DBP mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai jentera kepada pembangunan tamadun bangsa," jelasnya lagi.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melancarkan dua buah buku kumpulan sajak terbaharu karya Adi Rumi, iaitu Kumpulan Sajak Di Mana Pun Adalah Bumi Allah dan Kumpulan Sajak Datangmu Dirindui Pergimu Ditangisi.

 22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (12).jpg

Majlis diteruskan dengan Bicara Ketokohan dan Pemikiran Adi Rumi yang disampaikan oleh Profesor Madya di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah atau lebih dikenali sebagai Rahimi A.B.

 22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (13).jpg

Seterusnya majlis disusuli dengan seindah bicara daripada Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang antara lain mengongsikan permulaan beliau berkarya dalam pentas penulisan dan dunia kesusasteraan pada tahun 1956.

Yang Berhormat turut mendeklamasikan dua buah sajak, iaitu Sajak Irama Muda dan Sajak Era Tua.

Adi Rumi merupakan nama yang tidak asing lagi dalam pentas penulisan dan kesusasteraan di Negara Brunei Darussalam dan telah banyak menghasilkan karya-karya sastera Islam yang unggul dan berkualiti sehingga sering meraih penghargaan dan pengiktirafan baik dalam negara mahupun luar negara.

Beberapa anugerah berprestij yang diterima Adi Rumi ialah Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award), 2000; Anugerah Penulisan Islam YSHHB (API), 2011; Anugerah Kesusasteraan Islam Ke-2, YSHHB (AKI), 2013 dan Anugerah Sastera Mastera (ASM), 2018.

Multaqa Sasterawan Islam Brunei merupakan projek tahunan DBP melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan sebagai bentuk penghormatan dan apresiasi kepada sasterawan-sasterawan tanah air.

Projek ini berperanan dalam memberikan penghargaan kepada penerima-penerima anugerah berprestij, iaitu dimulakan dengan sasterawan yang telah diiktiraf sebagai Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKI), kemudian Penerima Anugerah Sastera Mastera (ASM) dan seterusnya, Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.EA. Write Award).

Tahun ini merupakan tahun kedua multaqa ini diadakan sejak ia mula diungkayahkan pada tahun 2019 yang diadakan khusus untuk mengapresiasi dan menghargai Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S.), Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam pada tahun 2008.

Adapun objektif majlis tersebut adalah untuk mengapresiasi dan memberi penghormatan kepada penulis-penulis tanah air yang telah menerima anugerah-anugerah dalam dan luar negara atas jasa serta bakti mereka dalam menyumbangkan baik tenaga mahupun pemikiran untuk pembangunan dan pembinaan bangsa; mengangkat ketokohan dan kepengarangan penulis-penulis tanah air kepada masyarakat dan generasi muda khasnya; dan mengetengahkan dan menyerlahkan hasil karya penulis-penulis tanah air kepada masyarakat terutamanya generasi muda.

Pengungkayahan majlis tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran dan perhatian generasi muda khususnya remaja serta belia mengenai kepentingan penulisan dalam pembangunan sahsiah belia; dan memotivasi masyarakat khususnya generasi muda (peneraju utama pembangunan negara) untuk memberikan sumbangan dan jasa dalam pembangunan negara.

22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (2).jpg

22122020 Multaqa sasterawan islam brunei (4).jpg

Attachments
Created at 12/23/2020 10:59 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/23/2020 10:59 AM by Lee Chin Foo