Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
BERGERAK DALAM SATU PASUKAN MENCAPAI WAWASAN BRUNEI 2035

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Disember 2020 - Dengan dilengkapi tiga Objektif Strategik, lima Strategi Teras dan 11 Inisiatif Strategik yang berasaskan KPI, bukti (evidence-based) dan amalan terbaik untuk mencapai visi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Buku Pelan Strategik KKBS 2020-2024 merupakan asas bagi warga KKBS untuk terus bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035 secara berfasa-fasa dan perancangan yang rapi.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik KKBS 2020-2024, Buku Rangka Kerja Kebangsaan Bagi Perlindungan Kanak-Kanak (National Framework On Child Protection - NFCP) dan Penyerahan Geran Mikro Keusahawanan yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, di sini.

 22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (10).jpg

"Disinilah pentingnya ialah bagi kita untuk memastikan buku ini tidak akan menjadi retorik semata-mata. Hayatilah dan manfaatkannya dengan sepenuhnya untuk mengukuhkan lagi perpaduan kita sebagai warga kementerian yang penuh dengan kebanggaan, bergerak secara bersatu dan komited untuk mencapai yang terbaik bagi masyarakat Brunei Darussalam. Kita mempunyai amanah yang tinggi untuk menentukan kesejahteraan dan pemerkasaan rakyat secara amnya, di samping pendaulatan budaya bangsa kita. InsyaaAllah, kita akan dapat melaksanakan tugas dan peranan tersebut sepertimana yang dihasratkan," jelas Yang Berhormat.

Terdahulu, Yang Berhormat berkata, Majlis Pelancaran pada hari ini mempunyai makna yang sangat besar kerana mereka dapat berkumpul sebagai satu pasukan untuk sama-sama menghargai dan mengimbas kembali kepada pencapaian-pencapaian yang telah dan terus diraih oleh warga KKBS bersama rakan-rakan strategik yang terdiri daripada Majlis-majlis Kebangsaan dan Persatuan-persatuan di bawahnya, Persekutuan dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan, Pergerakan-pergerakan Belia, sukarelawan, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan pihak swasta sehingga sekarang.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas Keberangkatan Tidak Berjadual Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke KKBS baru-baru ini, dalam mana, titah baginda telah memberikan hala tuju dan keutamaan yang menyeluruh dalam setiap bidang tugas kementerian, dan pada masa yang sama mengingatkan betapa mustahaknya untuk menunaikan peranan dan amanah sebagai satu kementerian dalam satu pasukan, khususnya dalam menjaga jati diri para belia, kesejahteraan masyarakat, memartabatkan budaya dan bahasa Melayu sebagai tanda tamadun dan peradaban, menyediakan negara untuk menghadapi sukan bertaraf antarabangsa dan kewajipan untuk menjaga kebajikan setiap warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Menurut Yang Berhormat lagi, beberapa tahun kebelakangan ini, KKBS telah meraih pelbagai kemajuan dan pencapaian yang memberikan kesan yang berimpak dalam tugas dan peranan, antaranya Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035, Garispanduan Sukarelawan, Garispanduan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) serta pelan-pelan tindakan dalam pelbagai bidang tugas dihasilkan secara 'cross-cutting' pada tahun 2020.

Dalam aspek pembangunan terang Yang Berhormat, pengupayaan dan kesejahteraan masyarakat, Sistem Kebajikan Negara (SKN) telah dikenalkan untuk memastikan tiadanya ketirisan dalam kalangan pemohon-pemohon bantuan secara berterusan.

Di samping itu ujar Yang Berhormat, usaha juga diteruskan untuk meringankan beban golongan sasaran secara langsung seperti Projek Memeduli Warga Emas dari aspek kesejahteraan dan kesihatan, penyediaan unit kediaman secara percuma kepada sebilangan residen Pusat Penempatan dan Kemudahan Ruang Percuma bagi Persatuan-persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Program inkubator dan kursus Pusat Pembangunan Belia juga jelas Yang Berhormat, terus diluaskan skop bagi belia dan golongan-golongan sasaran sebagai platform untuk menjana keusahawanan dan pendapatan sendiri, di samping perancangan berterusan untuk menaiktaraf Pusat Bahagia.

Menyentuh mengenai aspek pemerkasaan dan pembentukan jati diri belia, Yang Berhormat berkata, lebih banyak platform telah dan terus ditubuhkan, antara lain, Kongres Belia Kebangsaan, Youth Townhall, di samping pelbagai platform-platform lain dan program-program yang merentasi pelbagai topik yang dijalankan oleh Badan Bukan Kerajaan.

Dalam menangani pandemik COVID-19, Yang Berhormat berbangga dengan penglibatan para sukarelawan, khususnya Sukarelawan Belia yang berani tampil ke hadapan dalam membantu pihak 'frontliners', di mana dengan pelancaran DBNS 2020-2035, para belia turut memainkan peranan kritikal sebagai mekanisme 'check and balance' terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif DBNS dengan penubuhan Youth Advisory Group, di samping Youth Advocates dalam pelbagai tumpuan dan fokus.

"Dari aspek pelestarian budaya sebagai tanda tamadun dan peradaban, kita turut berbangga dengan usaha-usaha Dewan Bahasa dan Pustaka, Muzium-muzium dan Pusat Sejarah Brunei sehingga berjaya meningkatkan jumlah pengunjung secara signifikan. Pencapaian ini akan diteruskan lagi dengan usaha penjenamaan semula Perpustakaan-perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka serta inisiatif berterusan untuk memartabatkan lagi bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara. Tidak ketinggalan, PKWE, Penubuhan Warga Emas, Majlis Wanita, MKOKU dan Majlis Belia Brunei dalam meraih pencapaian-pencapaian," jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, beberapa tahun yang lalu turut menandakan permulaan tiga projek yang dijangka akan memberikan impak yang besar di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11, iaitu penaiktarafan Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan penaiktarafan Muzium Brunei, Kota Batu dan pembinaan Unit Perlindungan baharu Kompleks Rumah Kebajikan (KRK).

Di samping itu juga tambah Yang Berhormat, Galeri Seni di Bangunan Kastam Lama juga sudah mula diubahsuai dengan kerjasama rakan strategik dari pihak swasta dan akan meningkatkan lagi kualiti prasarana yang akan dapat dinikmati oleh orang awam.

Oleh yang demikian ujar Yang Berhormat, demi menyelaraskan, meneruskan dan mempertingkatkan lagi pencapaian KKBS, di sinilah peranan Pelan Strategik KKBS 2020-2024 untuk menyatukan visi, hati, minda dan hala tuju sebagai buku panduan milik semua.

Pelan Strategik itu kata Yang Berhormat, mengambil kira perubahan persekitaran sektor awam, sosioekonomi, sosiokebudayaan dan keperluan 'stakeholders' ke arah mencapai visi Bangsa Brunei Cemerlang yang diselaraskan dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 yang menyatukan bidang tugas 4K, iaitu Kemasyarakatan, Kebeliaan, Kesukanan dan Kebudayaan, dan memberikan hala tuju yang terperinci dalam perjalanan untuk merealisasikan lima pencapaian visi yang merentasi empat bidang tersebut dan kesejahteraan kesemua warga KKBS, iaitu Masyarakat Progresif, Belia Siaga Masa Depan, Negara Sukan Yang Gemilang, Budaya Dinamik dan Pengukuhan Warisan, dan Persekitaran Kerja Inklusif dan Produktif.

Sebagai pelan strategik menurut Yang Berhormat, apa yang penting adalah penekanan betapa pentingnya untuk menghayati Maqasid Al-Syariah sebagai panduan utama yang membentuk lima nilai teras dalam melaksanakan amanah kita, iaitu klien didahulukan, profesionalisme, kecemerlangan, integriti dan kerjasama.

22.12.20-Pelancaran Buku NFCP (1).jpg

22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (5).jpg

Attachments
Created at 12/23/2020 8:54 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/23/2020 8:55 AM by Lee Chin Foo