Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KKBS LANCAR 2 BUKU

‚Äč22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (4).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Disember 2020 - Buku Pelan Strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) 2020-2024 memanifestasikan perancangan empat tahun KKBS dalam mencapai visi 'Bangsa Brunei Cemerlang' dengan memfokuskan kepada lima hasil pencapaian visi mengikut empat bidang utama, iaitu Sektor Kemasyarakatan, Sektor Kebeliaan, Sektor Kesukanan dan Sektor Kebudayaan serta Tadbir Urus KKBS.

Manakala Buku Rangka Kerja Kebangsaan Bagi Perlindungan Kanak-Kanak (National Framework on Child Protection - NFCP) pula memfokuskan kepada kanak-kanak dan orang muda yang berumur di bawah 18 tahun.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik KKBS 2020-2024 dan Buku NFCP berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS, di sini.

 22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (6).jpg

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dalam ucapan alu-aluan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud antara lain berkata, rancangan bagi perangkaan pelan strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mula dikaji pembentukannya pada awal tahun 2018 dengan melibatkan usaha pengumpulan data, perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan khususnya bahagian-bahagian dan jabatan-jabatan di bawah kementerian dan berpandukan kepada rujukan daripada dasar-dasar dan strategi-strategi terdahulu, Kajian Belia Kebangsaan 2018 dan Indeks Pembangunan Belia (YDI) bagi memastikan pelan strategik ini sejajar dan komprehensif.

 22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (8).jpg

Menurutnya, banyak inisiatif-inisiatif serta program-program pembangunan, pengupayaan dan pemerkasaan masyarakat telah dilaksanakan secara berterusan, di mana dengan adanya Pelan Strategik itu menyatupadukan inisiatif serta usaha KKBS untuk mencapai satu hala tuju yang lebih jelas dan bersistematik ke arah mencapai visi kementerian, iaitu Bangsa Brunei Cemerlang.

Penghasilan Buku NFCP pula tambahnya, menjadi garis panduan dan rujukan bagi memperkukuhkan lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak yang ada di negara ini bagi empat tahun yang akan datang.

"Dengan pelancaran Buku Pelan Strategik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 2020-2024 dan Buku Rangka Kerja Kebangsaan bagi Perlindungan Kanak-Kanak ini, peramba / saya yakin visi kita akan dapat merealisasikan Bangsa Brunei Cemerlang mampu dikecapi," ujarnya lagi.

Semasa majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan pelancaran Buku Pelan Strategik KKBS 2020-2024; dan Buku NFCP, disusuli dengan Majlis Penyerahan Geran Mikro Keusahawanan.

22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (11).jpg

Di dalam Buku Pelan Strategik KKBS 2020-2024 bagi pelaksanaan inisiatif di bawah Sektor Kemasyarakatan, pihak kementerian menjurus kepada 'Masyarakat Yang Progresif' yang bermaksud ekosistem pembangunan keupayaan masyarakat yang mampan, dinamik, berdaya tahan dan inklusif secara progresif.

Dalam Sektor Kebeliaan pula, inisiatif pelaksanaan ialah Belia Siaga Masa Depan melihat kepada belia bertaraf dunia yang berteraskan nilai sebagai agen perubahan siaga masa hadapan bagi pembangunan negara dengan berakar umbikan keinklusifan.

Sementara itu, dalam pelaksanaan di bawah inisiatif Sektor Kesukanan, tumpuan difokuskan kepada pencapaian Negara Sukan Yang Gemilang, iaitu bagi mencapai kecemerlangan dalam sukan yang kompetitif, kemajuan dalam pembangunan sukan dan kesejahteraan masyarakat.

Manakala bagi pelaksanaan inisiatif di bawah Sektor Kebudayaan, Kementerian berhasrat ke arah Budaya Dinamik dan Pengukuhan Warisan, iaitu budaya dan warisan negara sebagai tonggak perpaduan yang terus relevan dalam menyumbang ke arah pembangunan negara.

Bagi perlaksanaan inisiatif terakhir di bawah Tadbir Urus Pentadbiran, iaitu memfokuskan ke arah Persekitaran Kerja Inklusif dan Produktif agar warga kerja KKBS terlibat aktif, cekap, berkebolehan dan berkeyakinan dalam memberikan perkhidmatan berkualiti yang memenuhi pelbagai keperluan dan mampu melaksanakan objektif-objektif strategik.

Buku NFCP mengandungi beberapa strategi utama yang berkaitan dengan perlindungan kanak-kanak, termasuk dari aspek dasar, undang-undang dan etika; mekanisme pemantauan; koordinasi di antara agensi; perkhidmatan sosial; sokongan keluarga; penglibatan masyarakat; pencegahan; penglibatan kanak-kanak dan peningkatan latihan dan kapasiti.

Penghasilan rangka kerja itu adalah berasaskan kepada dokumen-dokumen yang terkandung di dalam Wawasan Brunei 2035; Pelan Tindakan Kesejahteraan Kanak-Kanak di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS); United Nations Convention on the Rights of the Child (CRC); dan Regional Plan of Action on Violence Against Children (2016-2025) di bawah ASEAN Commission on the Discrimination and Protection on the Rights of Women and Children.

22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (12).jpg

Penyerahan Geran Mikro Keusahawanan kepada syarikat yang diusahakan bersama oleh usahawan-usahawan belia, Md. Rabi Noorahafizam bin Rozama dan Md. Hadi Fakhrullah bin Sordini, iaitu syarikat Siege Pollyfox Enterprise.

 22.12.20-Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik dan NFCP (3).jpg

Pemberian geran tersebut adalah antara inisiatif dorongan dan dukungan pihak kerajaan untuk terus membantu para belia menceburi bidang keusahawanan bagi memastikan belia masa kini mampu bersaing dan berdikari, dan seterusnya menjadi agen perkembangan kepelbagaian sosioekonomi negara.

Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap KKBS, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Jabatan di bawah KKBS, rakan-rakan strategi KKBS serta pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Attachments
Created at 12/23/2020 8:42 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/23/2020 9:09 AM by Lee Chin Foo