Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
TERUSKAN USAHA, TINGKATKAN KERJASAMA HASILKAN GRADUAN 'MARKETABLE'

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto: Azmah Haji Ahad (Penerangan) dan Hajah Ajijah Ali (KKBS)

 

TANAH JAMBU, Isnin, 21 Disember 2020- Pencapaian para Graduan lepasan Pusat Pembangunan Belia (PPB) menunjukkan tiada yang mustahil, hasil kerja keras dan semangat para graduan sendiri.

Ia bukan perkara yang mudah untuk mempelajari kemahiran baharu, tetapi atas titik peluh dan kerajinan, setiap graduan menunjukkan kebolehan yang sebenar sebagai orang yang amat bernilai kepada keluarga dan masyarakat.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Majlis Konvokesyen PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, di sini.

''Saya ingin membawa para graduan untuk sama-sama mengimbas kembali kepada Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah semasa Majlis Pelancaran BIBD Youth Empowerment Summit, pada 12 Disember 2020. Duli Yang Teramat Mulia telah menyeru bagi para belia untuk tidak mudah mengalah dan apa yang paling mustahak, sentiasa mencabar diri untuk menjadi lebih baik,'' jelas Yang Berhormat.

Dengan kemahiran yang dipelajari, tambahnya, tiada alasan bagi para graduan untuk tidak mencabar diri, seterusnya, melangkah ke hala baharu, bermula hari ini, kerana di samping latihan kemahiran, para graduan juga dibentuk untuk mempunyai jati diri yang hebat kerana ilmu tanpa akhlak setentunya tidak mempunyai sebarang makna.

21.12.20-Konvokesyen PPB by YBD (4).jpg

Oleh yang demikian, jelasnya, percayalah kepada diri sendiri, tingkatkanlah kesabaran dan ingatlah, segala usaha juga pekerjaan itu memang bermula dari bawah hingga maju ke peringkat-peringkat seterusnya, atas usaha keras diri sendiri.

''Oleh itu, pada menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, jadilah anak Brunei yang mempunyai modal insan yang berkualiti, berakhlak mulia serta tidak mengetahui perkataan 'kalah', terutamanya dalam melangkah ke alam pekerjaan yang akan datang,'' sarannya lagi.

Tidak dinafikan, tambahnya, bahawa apa yang penting ialah sokongan setiap pihak melalui pendekatan Whole of Nation bagi memastikan para graduan diberikan peluang dan mampu untuk mencapai yang terbaik.

Menurutnya lagi, langkah yang telah dan terus diambil PPB dalam meningkatkan jumlah graduan, mencapai objektif yang dihasratkan, iaitu 'marketable' untuk diambil bekerja, mengendalikan perusahaan sendiri atau berkeupayaan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, ujarnya, usaha-usaha berterusan PPB sangat dibanggakan untuk memastikan latihan-latihan kemahiran yang ditawarkan adalah benar-benar 'market-driven' bagi kursus jangka masa panjang mahupun kursus singkat.

Di samping itu, jelasnya, penambahan skop PPB, meliputi latihan dan kemudahan inkubator bagi golongan-golongan masyarakat lain, khususnya golongan sasaran juga amat disambut baik juga terus menunjukkan impak yang dihasratkan bagi golongan berkenaan.

''Oleh itu, teruskanlah usaha ini dan tingkatkanlah lagi kerjasama bersama rakan-rakan strategik, termasuk Manpower Planning and Employment Council (MPEC); Manpower Industry Steering Committee (MISC); Job Centre; Life Long Learning (L.Cube) Centre, di bawah Kementerian Pendidikan; dan pihak-pihak industri untuk terus menghasilkan graduan yang menyeluruh, 'marketable' dan benar-benar tepat dengan kehendak pasaran.

''Sasaran kita tetap bagi 100 peratus daripada graduan untuk diambil bekerja, memulakan perusahaan persendirian atau melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, terutamanya bagi para lepasan Kursus Jangka Masa Panjang,'' jelasnya lagi.

Ke arah ini, terangnya, inisiatif hendaklah terus tertumpu dan ditingkatkan lagi kepada pencarian pekerjaan wajar bagi para graduan, dan kita amat berbangga kursus-kursus baharu dan 'high demand', seperti Kursus Tukang Daging (Butchery), gunting rambut, jahitan telah dan akan terus dikendalikan, di samping menyasarkan bagi Kursus Pemandu Jentera Berat (Heavy Vehicle Driver Training) untuk dimulakan dalam masa yang terdekat.

Dengan hala tuju itu, Yang Berhormat amat yakin setiap Graduan PPB akan berada di puncak kejayaan yang memberikan kesan tinggi kepada negara, mencapai cita-cita masing-masing, seterusnya mencapai matlamat Wawasan Negara 2035.


Attachments
Created at 12/22/2020 8:35 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/22/2020 8:35 AM by Lee Chin Foo