Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
KESIHATAN MENTAL, MENANGANINYA : KOMITMEN BERSAMA

Hari Kesihatan Mental 2020@IBTE (7).jpg

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Marlinawaty Hussin -Penerangan

Foto : Hajah Ajijah Haji Ali - KKBS


BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Setiap individu memerlukan mental yang sihat, merangkumi perasaan gembira dan sejahtera, berupaya menghadapi pelbagai cabaran hidup juga mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan mental sebagai keadaan kesejahteraan, di mana setiap individu menyedari potensinya sendiri juga dapat mengatasi tekanan hidup yang normal, dapat bekerja dengan produktif, selain dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat. 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata demikian, semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Pameran Kesihatan Mental atau Mental Health Fair anjuran Qudoz Management dan Cureheart, di Sekolah Penerbangan IBTE, di sini. 

Menurut Yang Berhormat, seramai 7,000 individu mengalami penyakit mental merujuk data terkini yang dikongsikan Kementerian Kesihatan. 

"Perkhidmatan Psikiatri di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha telah mencatatkan 40 kes baharu bagi pesakit dewasa setiap bulan dan Perkhidmatan Psikiatri bagi kanak-kanak dan remaja pula telah mendaftarkan hampir 100 kes baharu, dari Januari hingga September tahun ini. 

"Perkhidmatan Psikologi pula menemukan, antara 400 dan 600 kes setiap bulan," jelas Yang Berhormat. 

Ke arah itu, ujar Yang Berhormat, rakyat dan penduduk di negara ini amat bertuah kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah juga terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani cabaran ini. 

"Antara lain, kerjasama Whole of Nation, seperti kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; serta Pasukan Polis Diraja Brunei telah menghasilkan intervensi secara konsisten bagi memastikan kesihatan mental, khusus dalam kalangan penuntut sekolah dalam bentuk Kempen Brunei Bebas Buli," kata Yang Berhormat. 

Di samping itu, Yang Berhormat berkata, penyediaan Talian Kebajikan 141, Talian Anak 121 dan baru-baru ini, Talian Harapan 145, memberikan landasan yang selamat atau 'safe space' bagi pemanggil untuk membincangkan cabaran yang dihadapi atau memohon khidmat nasihat dan kaunseling secara 'anonymous'. 

"Platform perbincangan dan pengetahuan turut disediakan dengan inisiatif Mind Your Mind di bawah Kementerian Kesihatan dan Program Peer Empathise and Embracing Resilience (PEER), di bawah JAPEM dengan tujuan untuk melengkapi para peserta dengan kemahiran praktikal dan interaktif mengenai kesihatan mental," kata Yang Berhormat. 

Yang Berhormat menambah, antara kegiatan yang juga dan telah dirancang ialah Forum dan Seminar Wanita untuk Wanita Satu Pelaburan Demi Kesihatan Mental yang Lebih Baik sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, anjuran Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Bahagian Psikologi Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Mental Health Awareness Virtual Run 2020 Walk, Hike or Cycle Challenge anjuran Lembaga Pelawat Perkhidmatan Psikiatri dan Perkhidmatan Psikiatri di Hospital RIPAS; dan pembukaan Pusat Pemulihan Psikiatri harian baharu yang disumbangkan oleh Lembaga Pelawat Perkhidmatan Psikiatri, di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait. 

"Selaras dengan tema sambutan 'Kesihatan Mental untuk Semua : Tingkatkan Pelaburan - Tingkatkan Akses', apa yang paling mustahak ialah bagi setiap pihak, kerajaan dan bukan kerajaan untuk sama-sama melihat bahawa kesihatan mental dan menanganinya adalah komitmen kita bersama, khususnya dalam mengubah 'mindset' dan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dari peringkat awal," jelas Yang Berhormat. 

Yang Berhormat turut mengongsikan beberapa pemerhatian dan pandangan bagi manfaat perbincangan berkenaan, antaranya kepentingan peranan keluarga dan masyarakat, di mana rawatan sepatutnya bermula di dalam keluarga dan masyarakat dengan kerjasama pesakit, ahli keluarga, ahli profesional kesihatan, kebajikan dan agensi-agensi masyarakat. 

Menurut Yang Berhormat, mereka ialah penentu landasan yang positif bagi individu terdekat kepada mereka dengan kefahaman dan tindakan yang sewajarnya agar tidak mengetepikan mereka yang memerlukan sokongan lanjut akibat kesalahfahaman. 

Selain itu, mempraktikkan sistem dukungan yang efektif juga memainkan peranan penting. 

"Penubuhan persatuan dan inisiatif, seperti Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam, Cureheart, Mindful.bn, Clarity Sdn. Bhd., Qudoz Event Management Services, Projek Assalamualaikum, Mental Health BN, dan Open Hearts BN menunjukkan lebih ramai dalam kalangan masyakat semakin peka dan menyedari tentang kepelbagaian dan betapa pentingnya memastikan kesihatan mental adalah tanggungjawab sosial," jelas Yang Berhormat. 

Di samping itu, Yang Berhormat turut menyentuh, kepentingan untuk mendengar dan memberikan suara kepada golongan yang menghidap penyakit mental. 

"Melalui inisiatif seumpama ini, kita bukan sahaja menyediakan platform, tetapi juga menggalakkan fikiran terbuka serta boleh menghilangkan tembok pemisah serta stigma di antara mereka yang mengalami masalah kesihatan mental," ujar Yang Berhormat. 

Yang Berhormat juga mengingatkan, untuk berwaspada dalam situasi pandemik yang telah mendatangkan impak yang signifikan dan setentunya boleh menjejaskan kesihatan mental. 

"Antara beberapa amalan terbaik yang dapat diperhatikan dari negara-negara lain di ASEAN, adalah peningkatan perkhidmatan kaunseling serta sokongan psikologi dan emosi, melalui talian-talian yang beroperasi 24 jam. 

"Di samping itu kita juga hendaklah memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat," kata Yang Berhormat. 

Di peringkat lebih besar, Yang Berhormat menjelaskan, penekanan berterusan perlu diberikan kepada promosi kesihatan mental sepanjang hayat, bermula dari peringkat kanak-kanak lagi melalui program intervensi awal kanak-kanak dan program perkembangan kanak-kanak dan remaja, ini adalah untuk mencegah ia berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua. 

"InsyaaAllah, kita akan terus komited untuk menyediakan lebih banyak platform secara Whole of Nation bagi mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai kesihatan mental agar masyarakat akan lebih peka dan apa yang turut penting, memberikan sokongan yang padu kepada para individu penghidap penyakit mental - 'Prevention is Better than Cure' atau Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati," tambah Yang Berhormat.


Attachments
Created at 10/12/2020 10:36 AM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 10/12/2020 10:36 AM by Ak Hussni Bin Pg Hassan