Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PREBIU GALERI KEGEMILANGAN MARITIM BRUNEI

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said - Penerangan

 

KOTA BATU, Isnin, 14 September 2020 - Orang ramai terutamanya para pencinta sejarah kini berpeluang menambah ilmu dan mengetahui lagi sejarah kegemilangan maritim Negara Brunei Darussalam dengan berkunjung ke Galeri Kegemilangan Maritim Brunei bertempat di Muzium Maritim Brunei Darussalam yang dibukakan bagi kunjungan orang ramai.

Galeri ini dibahagikan kepada tiga zon, antara lain mengisahkan tentang kemunculan empayar Kerajaan Brunei yang merupakan antara negara tua di antara kerajaan-kerajaan di tanah Melayu. Catatan orang-orang China dan Arab menunjukkan kerajaan perdagangan ini bermula seawal Abad Ke-7 atau Ke-8 yang terletak di Muara Sungai Brunei (Mouth of the Brunei River) dan kerajaan awal pernah di bawah takluk Empayar Srivijaya pada Abad Ke-9 dan Empayar Majapahit pada Abad Ke-13.

 140920.Sejarah Kegemilangan.Penerangan.1.jpg

Zaman pemerintahan Sultan Bolkiah (1485-1524) merupakan zaman kegemilangan (golden age) Negara Brunei Darussalam ketika itu. Kewujudan tamadun agung dalam sejarah dunia disebabkan perdagangan maritim serta kedudukan lokasi yang strategik antara China dan rantau Asia Tenggara menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai entrepot dan pengumpulan bahan dagangan antarabangsa.

Pada Abad Ke-13 hingga Ke-17 Masihi, perdagangan antarabangsa giat dilaksanakan dengan negeri China, Pegu, Pahang, Terengganu, Kelantan, Melaka, Jawa, Acheh, Bugis, Manila, Suluk, Patani dan Siam.  Bukti-bukti yang nampak melalui penemuan arkeologi adalah adanya penemuan arkeologi seperti syiling, manik dan gelang kaca, kulit kerang (yang pernah juga dijadikan sebagai pertukaran wang), pemberat pukat dan juga produk-produk tempatan khususnya dari bahan-bahan tembaga.

Bahan-bahan peninggalan sejarah ini memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman dalam mengenali zaman lampau dan juga sebagai bukti aktiviti perdagangan yang dilaksanakan di negara ini.

Perdagangan hanya akan terjadi apabila ada cara untuk menemui pelanggan. Pameran ini juga menitikberatkan tentang kepentingan sungai, yang juga sinonim dengan kehidupan masyarakat Brunei dalam melaksanakan keperluan seharian seperti perhubungan, ekonomi, pengangkutan dan sosial termasuklah perdagangan. Bahan-bahan yang dipamerkan termasuk replika-replika perahu yang digunakan di negara ini sebagai rujukan dan ristaan akan datang.

Tembikar-tembikar Asia Tenggara (Ceramics of South East Asia) yang ditemui semasa kerja-kerja penggalian di Negara Brunei Darussalam juga menguatkan bukti bahawa negara Brunei juga turut menjalani perdagangan antarabangsa.

Tembikar-tembikar yang dipamerkan adalah daripada negara-negara Thailand, Viet Nam, Champa dan Burma serta jenis tembikar adalah tembikar tanah dan tembikar berglasir dihasilkan pada Abad Ke 10-13 Masihi. Ini adalah perisian bagi salah satu galeri yang baharu diubah suai di Muzium Maritim Brunei Darussalam.

Waktu lawatan pada tahap keempat sepanjang tempoh 'de-escalation' ialah dibukakan setiap Selasa hingga Khamis, Sabtu dan Ahad antara jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dan tutup setiap Isnin dan Jumaat.

Muzium Maritim Brunei Darussalam disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pada 23 Mac 2015.

140920.Sejarah Kegemilangan.Penerangan.2.jpg

Attachments
Created at 9/16/2020 11:43 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/16/2020 11:43 AM by Lee Chin Foo