Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
MESYUARAT MAJLIS KOMUNITI SOSIO-BUDAYA ASEAN (ASCC) KE-23

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

(Foto: Hajah Ajijah Ali)

Bandar Seri Begawan, 24 Jun 2020 – Kesan pandemik COVID-19 mendorong ASEAN untuk terus menyesuaikan keadaan kepada situasi dan menerima norma-norma baru dengan keazaman kuat untuk lebih bersepadu dalam usaha menanganinya. Ini diketengahkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam, semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) Ke-23, yang diadakan melalui sidang video kelmarin. 

230620.ASCC-36th.png

Mesyuarat ASCC Ke-23 tersebut dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Dao Ngoc Dung, Minister of Labour, Invalids and Social Affairs, Republik Sosialis Vietnam dan turut disertai oleh Menteri-Menteri ASCC dan wakil, serta Setiausaha Agung ASEAN.

Semasa mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri ASCC bersetuju untuk meneruskan usaha ASEAN dalam menangani impak pandemik COVID-19 terhadap sosio-ekonomi rantau ini serta bersetuju untuk mengenal pasti peluang-peluang untuk menggiatkan semula (re-vitalisation) rantau ASEAN pasca-pandemik. Menteri-Menteri juga menyambut baik sumbangan aktif badan-badan sektoral ASCC terhadap usaha-usaha serantau yang diselaraskan ke arah menangani pandemik COVID-19. Inisiatif-inisiatif antara-sektor yang bersepadu telah membolehkan penghasilan pelan pemulihan pasca-pandemik (post-pandemic recovery plan) yang bertujuan untuk memulihkan pekerjaan dan keadaan kehidupan para pekerja yang terjejas disamping mendorong proses pemulihan golongan-golongan sasaran dari aspek sosial dan ekonomi. Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Dato menekankan pentingnya penjalinan tugas ASCC bersama tunggak-tunggak ASEAN sepertimana yang disarankan oleh Ketua-Ketua Negara / Kerajaan ASEAN dalam Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN mengenai COVID-19 pada bulan April 2020 untuk menangani pandemik, mempersiapkan ASEAN serta menerima norma baru. 

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan pandangan mengenai usaha-usaha pemulihan ASCC:

(i) Kesediaan Pasaran Buruh pada masa ini dan akan datang dengan memaksimakan penggunaan platform-platform Revolusi Industri ke-4  dalam bidang-bidang utama termasuk kesihatan, pendidikan dan maklumat ke arah menjadikan ASEAN lebih berinovasi untuk memberikan respons yang berkesan. Ini adalah sejajar dengan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat terutamanya dari aspek meningkatkan kemahiran (upskilling) dan mempelajari kemahiran yang baru (reskilling) di kalangan masyarakat;

(ii) Memastikan sistem perlindungan sosial disesuaikan kepada perubahan semasa dan tiada ketirisan, dengan memeduli, melindungi dan menjaga golongan-golongan sasaran termasuk mengutamakan kesihatan mental mereka. Peningkatan dari aspek penggunaan teknologi turut penting, dalam mana Negara Brunei Darussalam kini telah memperluaskan perlindungan kesihatan dan kebajikan sosial melalui Aplikasi 'BruHealth' dan Sistem Kebajikan Negara yang akan dilancarkan pada bulan Julai 2020;

(iii) Mempersiapkan belia, khususnya dalam memanfaatkan dan menyalurkan idea-idea inovatif dengan menyediakan platform secara berterusan bagi mereka; dan

(iv) Menyediakan platform yang bersesuaian dan mengukuhkan kerjasama ke arah mengurangkan kesan negatif akibat penyebaran maklumat dan berita palsu, disamping berusaha untuk mengongsikan maklumat yang tepat pada masa.

Dalam mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan pelaksanaan Kajian Separuh Penggal (Mid-Term Review)  ASCC Blueprint 2025 serta penyediaan draf Pelan-Pelan Kerja baru badan-badan sektoral ASCC yang membuka peluang perlaksanaan penelitian check and balance ke arah merealisasikan visi komuniti yang mampan, berdaya tahan, dinamik dan inklusif.

Menteri-Menteri ASCC telah mengesahkan Deklarasi ASEAN Declaration on Human Resources Development for the Changing World of Work dan mencadangkan dokumen tersebut untuk dihadapkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-36.  Dengan pengesahan Deklarasi tersebut, ianya dihasratkan untuk mengukuhkan lagi komitmen ASEAN dalam mempereratkan lagi kerjasama dalam sektor buruh, pendidikan dan perniagaan dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran baru pada masa hadapan, serta memajukan lagi pendidikan dan pekerjaan yang inklusif. Mesyuarat turut mengambil maklum dan menghargai penubuhan ASEAN TVET Council serta inisiatif-inisiatif serantau untuk mempromosikan kesihatan awam, kerja sosial, kerjasama alam sekitar marin, dan pemerkasaan wanita.

Yang Berhormat Dato turut disertai oleh Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap dan Pegawai-Pegawai Kanan di  Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.

230620.36th ASEAN Summit-virtual meeting.jpg

230620.Virtual ASCC (2).jpg

Attachments
Created at 6/24/2020 4:46 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 6/24/2020 4:52 PM by Lee Chin Foo