Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
393 MENERIMA SIJIL LATIHAN PKBN

‚Äč[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Nooratini Haji Abas - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali (KKBS) & Infofoto (Penerangan)

 

TEMBURONG, Khamis, 12 Mac 2020 - Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) hari ini melakar sejarah bagi seramai 393 pelatih Pengambilan Kesembilan (Ke-9) apabila berjaya menamatkan latihan selama 15 minggu yang bermula sejak bulan Disember 2019 yang lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan Ke-9 yang diadakan di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, di sini.


120320-Upacara Tamat Latihan Pengambilan Ke-9.infofoto.3.5.jpg

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Menjunjung sama keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Mengiringi keberangkatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Upacara dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan memeriksa Barisan Hadapan Kawalan-kawalan Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan Ke-9 terdiri daripada 237 pelatih lelaki dan 156 pelatih perempuan.

Kemudiannya dikuti dengan persembahan perbarisan gerak perlahan dan gerak cepat daripada para pelatih yang diiringi oleh Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan gabungan Pasukan Sarunai dan Tambur Tentera Darat Diraja Brunei.

120320-Tamat Latihan PKBN Ke-9 (7).jpg

Setelah acara perbarisan lalu, baginda berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menganugerahkan bagi Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Pelatih Lelaki Terbaik Kawad, Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, Pelatih Lelaki Terbaik Latihan Jasmani, dan Pelatih Perempuan Terbaik Latihan Jasmani.

Penerima anugerah bagi Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan ialah 12554 Mohammad Wafiy Mustaqim bin Bahrin (Platun 2) diikuti dengan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, 12345 Nurul Maziah binti Abdullah Kamarul Sarip (Platun 2) seterusnya Pelatih Lelaki Terbaik Kawad ialah 12417 Amirul Afizan bin Moksin (Platun 2) sementara Pelatih Perempuan Terbaik Kawad, 12269 Nur Munawarah binti Haji Ismail (Platun 7) kemudian Pelatih Lelaki Terbaik Jasmani ialah 12305 Kasyful Asymawi bin Haji Khairul Ariffin (Platun 6) manakala Pelatih Perempuan Terbaik Jasmani ialah 12324 Nur Hernna Syafiqah binti Abdullah Hirman (Platun 5).

Sejurus selesai mengurniakan anugerah, Kebawah DYMM dijunjung naik ke Pentas Diraja dan Sembah 'Daulat' dilaungkan sebanyak tiga kali oleh para pelatih PKBN yang berjaya menamatkan program latihan mereka.

Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Pegawai Ugama PKBN, Awang Mohd. Khairul Hazmi bin Haji Munir.

Baginda kemudiannya berangkat menuju ke Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi menyaksikan pameran daripada Jawatankuasa Persatuan Alumni PKBN dan Program Peladang Muda Pusat Pembangunan Belia sebelum baginda dijunjung berangkat ke Bilik Tetamu 1, Blok 1, Kem Latihan PKBN bagi santap ringan.

 120320-Tamat Latihan PKBN Ke-9 (15).jpg

Kebawah DYMM seterusnya berkenan menandatangani Buku Lembaran Kenangan sempena keberangkatan baginda di Ruang Legar, Blok 1, Kem Latihan PKBN.

Sebelum meninggalkan Majlis, Kebawah DYMM berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para pelatih dan seterusnya menerima pesambah daripada Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli, sebagai menjunjung kasih di atas keberangkatan baginda ke Kem PKBN.


120320-Tamat Latihan PKBN Ke-9 (14).jpg

Keberangkatan Kebawah DYMM ini menunjukkan bukti keprihatinan baginda terhadap perkembangan belia di negara ini terutama kepada para pelatih PKBN.

Ia juga untuk menyuntik semangat mereka untuk terus aktif memainkan peranan sebagai belia yang berdikari, berdisiplin, berwawasan, berhemah, bertakwa, dan syumul dan terus menerus aktif mengaplikasikan apa yang dipelajari sepanjang program setelah tamat menjalani PKBN juga agar dapat menabur bakti dan meningkatkan rasa cinta serta pengorbanan terhadap negara, bangsa dan agama sesuai dengan hasrat penubuhan PKBN.

Sejak ditubuhkan, PKBN telah mengeluarkan seramai 2,930 orang alumni PKBN dan ini adalah termasuk jumlah alumni PKBN bagi Pengambilan Ke-9 yang bermula 1 Disember 2019 dan berakhir pada 12 Mac 2020.

Mereka ini dilatih oleh seramai 150 penyelia, jurulatih, pegawai perubatan, dan pengendali yang telah dipinjamkan daripada Angkatan Tentera Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Outward Bound Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan sukarelawan profesional yang dibantu oleh Alumni PKBN bagi sama-sama menjayakan PKBN berkenaan. 

120320-Tamat Latihan PKBN Ke-9 (18).jpg

120320-Tamat Latihan PKBN Ke-9 (19).jpg

120320-Upacara Tamat Latihan Pengambilan Ke-9.infofoto.3.2jpg.jpg

Attachments
Created at 3/14/2020 9:52 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 3/17/2020 10:24 AM by Lee Chin Foo