[Sumber: Pelita Brunei]
Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
NAY PYI TAW, MYANMAR, Sabtu, 9 November 2019 - Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Ke-11 (11th ASEAN Ministerial Meeting on Rural Development and Poverty Eradication - 11th AMRDPE) diadakan di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 8 November 2019 dengan tema, 'Membentuk Masyarakat Luar Bandar Yang Berdaya Tahan Menuju Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan' atau 'Shaping Resilient Rural Communities Towards the Attainment of SDGs'.
Mesyuarat yang dianjurkan oleh Ministry of Agriculture, Livestock and Irrigation, Republic of the Union of Myanmar ini telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden Republic of the Union of Myanmar, His Excellency U Henry Van Thio.
Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Ketua Delegasi 11th AMRDPE; Pemangku Setiausaha Tetap, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; juga Pegawai-pegawai Kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.
Semasa Mesyuarat 11th AMRDPE, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengongsikan beberapa komitmen negara ke arah 'Membentuk Masyarakat Luar Bandar Yang Berdaya Tahan Menuju Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan', merangkumi pelaksanaan Pelan Tindakan Isu Kemiskinan yang turut memfokuskan kepada pembentukan kedayatahanan masyarakat bermula daripada individu dan keluarga.
Pelaksanaan Pelan Tindakan itu melibatkan berbagai sektor secara bersepadu melalui kaedah 4P, iaitu Public-Private People Partnership, termasuk dalam melibatkan para belia dalam usaha-usaha pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat juga menerangkan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memberikan akses dan peluang dalam bidang keusahawanan bagi memastikan masyarakat luar bandar dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka, khususnya melalui inisiatif Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang mencapai nilai komersil yang membanggakan.
Salah satu kaedah bagi memastikan penduduk luar bandar dapat mencapai pembangunan mampan tanpa meninggalkan sesiapa, Negara Brunei Darussalam juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan menubuhkan sebuah data ekosistem selaras dengan Rangka Kerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, khususnya untuk mengeluarkan peta kemiskinan dan Multi-Dimensional Poverty Index (MPI) juga Multiple Vulnerability Indicators (MVI) bagi memudahkan penilaian dan pemantauan masyarakat yang memerlukan bantuan.
Seterusnya Yang Berhormat menekankan mengenai kepentingan bagi masyarakat luar bandar dan yang memerlukan bantuan untuk mempunyai kedayatahanan minda bagi menjamin ketahanan mereka dalam menghadapi sebarang risiko juga cabaran yang boleh menggugat pembangunan mampan.
Menteri-menteri ASEAN bagi 11th AMRDPE juga mengeluarkan satu kenyataan bersama, antara lain menyokong kepentingan untuk meningkatkan kedayatahanan penduduk luar bandar bagi menghadapi sebarang risiko juga cabaran, di mana dengan kerjasama dan kolaborasi strategik melalui perkongsian mampan dalam kalangan negara-negara ASEAN, kedayatahanan ini akan dapat dibentuk bagi mempercepatkan usaha-usaha ke arah pembasmian kemiskinan juga pencapaian matlamat pembangunan mampan bagi seluruh penduduk ASEAN.
Menteri-Menteri 11th AMRDPE mengambil maklum mengenai progres pelaksanaan Rangka Kerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2016 - 2020, usaha ke arah penyediaan bangga pelan tindakan baharu bagi tempoh lima tahun seterusnya juga Pelan Induk RDPE.
Menteri-Menteri 11th AMRDPE turut menghargai usaha berterusan badan sektoral SOMRDPE ke arah pensejajaran dengan ASEAN Community Vision 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan juga kerjasama erat dengan negara-negara ASEAN Campur Tiga.
.jpg)
Mesyuarat 11th AMRDPE didahului dengan Mesyuarat 16th ASEAN Senior Officials Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (16th SOMRDPE) dan Mesyuarat 12th ASEAN Plus Three Senior Officials Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (12th SOMRDPE + 3) pada 4 November 2019, dan beberapa acara sampingan, termasuk SOMRDPE Visioning and Planning for Results Workshop (2021 - 2025) pada 5 November 2019, The 8th ASEAN Forum on Rural Development and Poverty Eradication (8th ASEAN Forum on RDPE) pada 6 November 2019 dan Side Event on Gender Mainstreaming in RDPE pada 7 November 2019.
The 8th ASEAN Forum on RDPE dan acara-acara sampingan turut dihadiri oleh delegasi organisasi bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta daripada setiap negara Ahli ASEAN juga perwakilan daripada badan-badan antarabangsa dan para akademik.
Mesyuarat 16th SOMRDPE membincangkan kerjasama dan inisiatif 'cross-sectoral' dalam bidang matlamat pembangunan mampan (SDG), perubahan iklim, perlindungan sosial, Revolusi Industri Ke-4 (4th Industrial Revolution); status pelaksanaan Rangka Kerja Pelan Tindakan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2016 - 2020; juga inisiatif-inisiatif serantau dalam usaha pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.
Sementara itu, Mesyuarat 12th SOMRDPE+3 memberikan peluang kepada negara-negara Ahli SOMRDPE untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi amalan-amalan terbaik dengan negara-negara rakan kongsi ASEAN Campur Tiga dalam program-program yang berkaitan dengan tema mesyuarat tahun ini, di samping meneroka peluang-peluang kerjasama lain yang dapat diterokai.
Manakala, 8th ASEAN Forum on RDPE pula dapat memupuk perkongsian pendapat juga pengajaran dalam kaedah-kaedah pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh pihak-pihak yang berkepentingan ke arah pembentukan masyarakat yang berdayatahan.
Sepertimana lazimnya diadakan setiap dua tahun sekali semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Anugerah Kepimpinan ASEAN bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan diadakan untuk Kali Ke-4 (4th ASEAN Leadership Award on Rural Development and Poverty Eradication) pada malam, 8 November 2019.
Anugerah ini adalah pengiktirafan ASEAN kepada Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Sektor Swasta yang memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan di rantau ini.
Anugerah bagi Kategori Sektor Swasta dari Negara Brunei Darussalam diterima oleh DST Communications Sdn. Bhd. sebagai pengiktirafan kepada penglibatan dan sumbangan syarikat berkenan dalam membantu golongan yang memerlukan di negara ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kesatuan Pertanian, Ternakan dan Saliran, Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Dr. Aung Thu (Union Minister, Ministry of Agriculture, Livestock and Irrigation, Republic of the Union of Myanmar); dan Timbalan Ketua Setaiusaha Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, Tuan Yang Terutama Kung Phoak (Deputy Secretary General for the ASEAN Socio-Cultural Community).
Mesyuarat 11th AMRDPE, mesyuarat-mesyuarat peringkat pegawai kanan, forum dan majlis anugerah ini telah memberikan platform yang terbaik bagi negara-negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan peluang kerjasama dan meningkatkan keberkesanan tindakan kebangsaan dan serantau dari segi pembentukan masyarakat luar bandar yang berdaya tahan menuju pencapaian matlamat pembangunan mampan.
Hasil-hasil yang diperoleh daripada mesyuarat-mesyuarat dan forum yang berkaitan dengan 11th AMRDPE ini akan dipergunakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh Negara Brunei Darussalam dengan menggembeling sumber-sumber yang bersesuaian juga mensejajarkan semua program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang inklusif juga memfokuskan kepada pembangunan kedayatahanan masyarakat dalam Pelan Tindakan Membasmi Kemiskinan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial melalui pendekatan Whole of Nation
.jpg)