Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMARAKKAN SAMBUTAN HK35

‚Äč090319KhatamHK-35 (6).jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Saerah Haji Abdul Ghani - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


PEKAN MUARA, Sabtu, 9 Mac 2019 - Amalan membaca Al-Quran sangat dititikberatkan bagi setiap umat Islam kerana Al-Quran menjadi sumber asas kepada manusia untuk dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan dunia mahupun akhirat.

Penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan diteruskan melalui Majlis Khatam Al-Quran 35 Kali secara serentak di keempat-empat daerah bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 Tahun 2019.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis khatam yang berlangsung di Masjid Setia Ali, Pekan Muara di sini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Raes KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, pegawai dan kakitangan kerajaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dikepalai oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Massad yang diketuai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang diketuai oleh mahasiswa UNISSA.

Doa Khatam dibacakan oleh Johan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 2018, Awang Muhammad Sa'dun bin Suhaili manakala Dikir Marhaban diketuai oleh pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Majlis diakhiri dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Selamatkan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Awang Nasehin bin Yahya.

Majlis ini merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan yang dikendalikan oleh KKBS untuk kali keenam.

Di daerah ini, majlis melibatkan seramai 1,000 peserta lelaki dan perempuan, terdiri daripada Ahli-ahli Persatuan Belia dan Sukan; Pelatih PKBN; Pelatih Pusat Pembangunan Belia; Peserta Program Belia Cinta Tanah Air; Sukarelawan-Sukarelawan; Belia-Belia Masjid; Qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan; Mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi; Penuntut-penuntut daripada Institusi Pendidikan Teknik Brunei, Sekolah Menengah dan Sekolah Ugama; Agensi-agensi kerajaan dan swasta serta belia-belia perseorangan.

090319KhatamHK-35 (5).jpg

090319KhatamHK-35 (3).jpg

Antara tujuan majlis diadakan adalah untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat, terutama dengan pembacaan Al-Quran, selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, di samping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia dan masyarakat, serta untuk menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Penganjuran majlis seumpama ini diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia, dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang, juga sebagai pelapis dan penyambung kepimpinan di masa hadapan.

090319KhatamHK-35 (4).jpg


Attachments
Created at 3/11/2019 9:10 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 3/11/2019 10:16 AM by Lee Chin Foo