Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
SUKAN PERSAHABATAN BIMPNT-EAGA KE-10 BERMULA 7 DISEMBER

‚Äč041218-Majlis Penyerahan Bendera BIMPNT-EAGA (4).jpg

[Sumber: Pelita Brunei] 

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Hajah Ajijah Ali - KKBS


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 4 Disember 2018 - Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam sekali lagi telah diberikan penghormatan untuk menganjurkan Sukan Persahabatan Kawasan Pertumbuhan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina-Northern Territory (BIMPNT-EAGA) Ke-10, 2018 bermula pada 7 hingga 9 Disember 2018.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam diwakili oleh seramai 184 orang yang terdiri daripada 138 atlet dan 48 pegawai termasuk Pegawai Urus Setia, Pengurus Pasukan dan Jurulatih.

Pada Sukan Persahabatan kali ini, atlet-atlet Negara Brunei Darussalam akan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan, iaitu Akuatik, Boling Padang, Karatedo, Olahraga, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwando dan Wushu.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018 telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS.

Penyerahan bendera negara disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Ke-10, 2018, Awang Haji Muhd. Nurul Azrin bin Haji Gani.

041218-Majlis Penyerahan Bendera BIMPNT-EAGA (7).jpg

Terdahulu, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku Pengerusi majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata, pada kejohanan kali ini, sebanyak 11 kontinjen akan mewakili lima buah negara, iaitu Indonesia terdiri dari Sulawesi Selatan, Sulawesi Barat dan Kalimantan Utara; Malaysia (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan); Filipina (Mindanao dan Palawan); Northern Territory, Australia dan Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Brunei Darussalam 'A' dan Brunei Darussalam 'B' dengan anggaran jumlah penyertaan seramai 814 orang.

Dalam menghadapi Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA ini jelasnya, atlet-atlet negara telah pun giat menjalani latihan secara berterusan sejak awal tahun lagi di samping mengikuti kejohanan-kejohanan seperti SKBD, YOG, SUKMA dan telah menjalani latihan pusat sejak 21 November lalu.

Sukan Persahabatan ini bertujuan untuk mengeratkan perpaduan di antara Ahli-ahli BIMPNT-EAGA dan para atlet ke arah persefahaman dan kerjasama melalui penganjuran Sukan Persahabatan.

041218-Majlis Penyerahan Bendera BIMPNT-EAGA (6).jpg

041218-Majlis Penyerahan Bendera BIMPNT-EAGA (9).jpg

Edisi pertama Sukan BIMPNT-EAGA berlangsung di Republik Filipina pada tahun 1996 diikuti dengan Sarawak pada tahun berikutnya sebelum ia dihentikan sementara.

Pada tahun 2003, sukan tersebut diadakan kembali dengan Filipina sekali lagi menjadi tuan rumah. Edisi keempat diadakan di Sabah pada tahun 2004, Indonesia pada tahun 2006, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2008, Filipina pada tahun 2012, Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2014 dan sebelum ini Kalimantan Timur, Indonesia pada tahun 2016.

Pada Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-9 di Samarinda, Kalimantan Timur, kontinjen negara telah berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak melalui sukan Olahraga, Pencak Silat dan Sepak Takraw.

041218-Majlis Penyerahan Bendera BIMPNT-EAGA (3).jpg

Attachments
Created at 12/5/2018 10:29 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 12/5/2018 10:29 AM by Lee Chin Foo