Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
PENUBUHAN TABUNG KEMANUSIAAN BENCANA SULAWESI DIPERKENANKAN BANTUAN SEGERA

‚ÄčTabung SMS Sulawesi10.10.18-mesyuarat.1.JPG

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad - Penerangan

Foto: Pg Suhaimi bin Pg Hj Othman - KKBS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Oktober 2018 - Berdasarkan maklumat terkini daripada ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA) sehingga 8 Oktober 2018, jumlah yang terkorban pada kejadian gempa bumi di Pulau Sulawesi yang menyebabkan tsunami di wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia mencecah lebih 1,900 orang.

Pada masa yang sama, lebih 10,000 orang lagi mengalami kecederaan berat dan lebih 74,000 orang kehilangan tempat tinggal, yang mana kejadian gempa bumi dan tsunami itu juga merosakkan hampir 66,000 buah kediaman.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat Bersama menyatakan demikian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS).

Berikutan bencana itu katanya, pihak Kerajaan Republik Indonesia mengeluarkan kenyataan, yang mana mereka amat mengalu-alukan bantuan segera dari negara-negara di seluruh dunia, berbentuk keperluan segera, khususnya dari segi bantuan asas seperti makanan, air minuman, ubat-ubatan, khemah sementara, bantuan kecemasan dan lainnya bagi membantu mangsa yang terlibat.

Tambah Yang Berhormat, menurut kenyataan AHA, bantuan mula dihulurkan oleh negara-negara dan pertubuhan antarabangsa, termasuk Ahli-ahli negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog.

''Sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap kesejahteraan negara jiran, dan bagi membolehkan seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk menyumbang derma khusus untuk meringankan beban penderitaan mangsa-mangsa gempa bumi Sulawesi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan TKBS bagi tempoh selama tiga bulan bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan,'' jelasnya.

Menurut Yang Berhormat, baginda juga memperkenankan Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan TKBS, yang mana Menteri Hal Ehwal Ugama dan beliau sendiri adalah sebagai Penasihat Bersama bagi Jawatankuasa Kebangsaan, manakala Pengerusi Bersama mesyuarat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Manakala ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Yang Berhormat seterusnya menyampaikan bahawa dengan adanya tabung kemanusiaan itu, ia menunjukkan keprihatinan dan perasaan simpati yang mendalam daripada pihak rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terhadap penderitaan yang ditanggung oleh mangsa gempa bumi dan tsunami di Pulau Sulawesi.

Jawatankuasa Khas tersebut memulakan mesyuarat dan bersidang petang tadi di Bangunan KKBS, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Pengerusi Bersama mesyuarat.

Mesyuarat bertujuan untuk membincangkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Selain itu, mesyuarat diadakan bagi Jawatankuasa Kebangsaan TKBS itu mula bertindak dengan menentukan bidang tugas masing-masing.

Mesyuarat jawatankuasa pada hari ini menetapkan bahawa tempoh kutipan derma kewangan akan diadakan selama tiga bulan, iaitu mulai hari ini, Selasa, 9 Oktober 2018 hingga Ahad, 6 Januari 2019.

Penetapan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara. Manakala di masjid-masjid dan surau-surau, tabung-tabung akan dibukakan bermula Jumaat, 12 Oktober 2018.

Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyediakan peti tabung bagi mengadakan kutipan amal, boleh mendapatkan pelekat khas daripada pihak Urus Setia TKBS di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

Tabung SMS Sulawesi10.10.18-mesyuarat.2.JPG

Attachments
Created at 10/10/2018 2:49 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 10/10/2018 4:58 PM by Lee Chin Foo