Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
MENDALAMI PERASAAN KANAK-KANAK SEMASA PANDEMIK

[​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan]

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 November 2021. - Bersempena dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 dan sesuai dengan temanya pada tahun ini, iaitu ‘Bersatu Dalam Pemulihan Pasca Pandemik COVID-19 Kanak-Kanak’, satu forum bertajuk ‘Covid Oh Covid: Adaptasi Kanak-Kanak di Norma Baharu’ diadakan melalui kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat, dan disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Hampir 1,000 orang terdiri daripada para penuntut sekolah, guru-guru dan orang ramai menyertai forum tersebut yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom serta saluran YouTube Brunei Youth Council. 

Forum dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Khas, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd. Saleh selaku Moderator dan ahli-ahli panel terdiri daripada para penuntut sekolah, iaitu penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Nurhanisah binti Jailani; penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Hadif Nazhan bin Idris; penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa, Arshia Tariq; penuntut Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Mohamad Akmal Aqil bin Radat; dan penuntut Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, On Jia Xian.

Forum dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari selaku Yang Di-Pertua MBB, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, guru-guru, para penuntut dari sekolah-sekolah kerajaan dan swasta dan ITQSHHB.

Forum merupakan aktiviti interaktif yang melibatkan kanak-kanak berumur di antara 12 hingga 17 tahun yang bertujuan untuk mendalami perasaan kanak-kanak semasa berada dalam pandemik dan bagaimana kanak-kanak menjalani kegiatan harian ‘teranah’ di rumah. 

Forum juga dihasratkan untuk mendapatkan pandangan kanak-kanak dalam mengadaptasi norma baharu dan cara terbaik untuk berhadapan dengan situasi masa kini, khususnya dari segi pendidikan, kesihatan mental dan aktiviti sosial bagi membantu pihak kerajaan mengenal pasti dan merangka pelbagai strategi bagi mempertingkatkan dasar dan program yang sedia ada untuk kesejahteraan kanak-kanak dalam norma baharu. 


22.11.21-Forum Covid Sambutan Hari Kanak2.infofoto1.jpg


Attachments
Created at 11/23/2021 8:41 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/23/2021 8:41 AM by Lee Chin Foo