Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
BANTU GOLONGAN TERJEJAS COVID-19

​[Sumber: Media Permata]

Sumber Berita: Yusrin Junaidi (Media Permata)

Foto: Muiz Matdani (Media Permata)

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT 2021– Bagi meringankan bebanan orang-orang yang terjejas dan memerlukan ketika berhadapan wabak COVID-19, Sukarelawan Belia Brunei dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengungkayahkan sumbangan pandu lalu bermula hari ini hingga 15 September di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Inisiatif itu bertujuan untuk membantu mereka yang terjejas oleh keadaan COVID-19 pada masa sekarang, di mana ada sebilangan mereka yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji dan sebagainya.

Ketua Sukarelawan Belia bagi Projek Sumbangan Pandu Lalu, Pengiran Mohd Al-Nizar bin Pengiran Azhari ketika ditemui menjelaskan, projek berkenaan bukan baharu di mana Sukarelawan Belia telah mengadakan beberapa projek serupa sebelumnya dan ini merupakan yang ketujuh diadakan.

Menurutnya, projek itu adalah bertujuan untuk sama-sama membantu memberikan catuan makanan kepada mereka yang memerlukan dengan menyasarkan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antara barangan sumbangan yang diperlukan adalah peralatan pembersihan, seperti cecair pencuci tangan, cecair pencuci lantai, tisu dan penyapu tandas selain makanan kering seperti roti atau biskut, minuman campur, makanan dalam tin, ubi kentang, minuman tiga dalam satu dan sebagainya serta barangan kelengkapan dandanan diri, tambahnya.

Beliau menjelaskan, barang-barang sumbangan yang sudah diasingkan dan dibungkus akan dihantar oleh para sukarelawan kepada orang-orang yang memerlukan iaitu senarai yang dikenal pasti melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), WeCare dan beberapa buah agensi lainnya.

Setakat ini, seramai 20 sukarelawan belia ditugaskan dalam projek pandu lalu berkenaan secara bergilir setiap hari, bermula 8 pagi hingga 2 petang.

Salah seorang penyumbang yang sempat ditemui, Haji Abdul Aziz berkata, beliau menyumbangkan makanan kering seperti beras, gula, makanan dalam tin, mi segera dan banyak lagi.

Menurutnya, sumbangan berkenaan adalah untuk berbagi rezeki bersama mereka yang memerlukan pada musim penularan wabak COVID-19.

Katanya lagi, beliau baru hari ini menerima maklumat mengenai sumbangan pandu lalu khusus untuk yang terjejas itu, dan tanpa berlengah beliau terus membeli kesemua barangan catuan makanan yang diperlukan dan menghantarnya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh pergi terus ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah, atau menghubungi terlebih dahulu talian 8332212, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, menggunakan pelitup muka serta mengimbas kod QR (hendaklah berwarna hijau atau kuning).

09.09.21-yusrin.MP.jpg

09.09.21-Sumbangan Pandu Lalu-MP3.GIF

09.09.21-Sumbangan Pandu Lalu-MP1.GIF

Attachments
Created at 9/11/2021 12:42 PM by Lee Chin Foo
Last modified at 9/23/2021 10:07 AM by Lee Chin Foo