Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
ASPIRASI BELIA TONGGAK KEMAJUAN NEGARA

07.08.21-HariBeliaKe-16.5.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Marlinawaty Hussin (Penerangan) 

Foto: Hajah Ajiah Ali (KKBS)


BERAKAS, Sabtu, 7 Ogos 2021 - Golongan belia memainkan peranan yang amat penting dalam memacu kemajuan pembangunan negara ke arah kejayaan Wawasan Brunei 2035.

Belia masa depan itu ialah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian; tetapi juga belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang. 

Sehubungan itu, Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-16, Tahun 2021 diadakan bagi mengiktiraf kepentingan para belia dalam memperkasakan kemajuan negara pada masa hadapan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan HBK Ke-16 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik serta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-16, Tahun 2021 dan Timbalan Menteri Tenaga, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-16, Tahun 2021.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah.

Pada majlis tersebut, Ikrar Belia dibacakan oleh barisan kumpulan-kumpulan belia terdiri daripada 50 orang belia yang terlibat dalam kesukarelawanan dan mempunyai pencapaian dalam pelbagai bidang.

07.08.21-HariBeliaKe-16.6.jpg

Ikrar Belia tersebut diketuai oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abdul Majid, diiringi oleh Awang Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad dan Dayang Nurhani Basirah binti Haji Chipli.

Atur cara diteruskan dengan tayangan video yang mempamerkan kecemerlangan belia dalam berkhidmat, di samping menyaksikan kejayaan besar golongan berkenaan kepada usaha gigih dan sepadu dalam pembangunan negara menerusi pelbagai bidang serta mampu mengadaptasi cabaran teknologi digital di era ledakan maklumat seperti perekonomian digital dalam suasana norma baharu pandemik COVID-19 berlandaskan Dasar Belia Negara dan Strategi ke Wawasan Brunei 2035.

Majlis turut diserikan dengan persembahan khas belia oleh kumpulan koir B’Sharp yang ditubuhkan oleh seramai 16 mahasiswa/i Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah HBK Tahun 2020 dan Tahun 2021 dalam empat kategori, iaitu Anugerah Belia Cemerlang; Anugerah Belia Berkhidmat; Anugerah Pemimpin Muda Belia; dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia yang disempurnakan oleh Kebawah DYMM.

Anugerah Belia Cemerlang diberikan kepada belia yang berjaya dalam bidang masing-masing yang pada utamanya mengharumkan nama negara, iaitu kepada Awang Mohd. Adi Salihin bin Roslan dari Persatuan Wushu Negara Brunei Darussalam menerima Anugerah Belia Cemerlang bagi Tahun 2020, manakala Dayang Chong Chin Yee dari Memori BN Ent/Startup Brunei menerima Anugerah Belia Cemerlang bagi Tahun 2021.

07.08.21-HariBeliaKe-16.14.jpg

07.08.21-HariBeliaKe-16.13.jpg


Sementara itu, Anugerah Belia Berkhidmat diberikan kepada belia yang banyak menyumbang kepada khidmat sukarela kepada negara atau orang lain, iaitu kepada Awang Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad dari Tambang.BN / Belia Masjid Hassanal Bolkiah / Leadership and Strategic Planning, Guild of Graduate UBD / Kumpulan Strategik Belia (DBNS) / Young Professionals Network; dan Awang Muhd. Syahmi bin Halimshah dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam masing-masing menerima Anugerah Belia Berkhidmat bagi Tahun 2020 dan Tahun 2021.

Anugerah Pemimpin Belia pula diberikan kepada pemimpin muda belia yang cemerlang menggembleng orang-orang bawahan kepada kebaikan. Pemenang bagi anugerah tersebut, iaitu Awang Haji Mohammad Loqman Al Hakim bin Haji Hamdan dari Al-Huffaz Management bagi Tahun 2020 dan Dayang Kwan Pei Yun (Joanna) dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri bagi Tahun 2021.

Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia adalah khusus bagi projek yang banyak memanfaatkan belia yang diberikan kepada Dayang Noorhafizah binti Haji Rashid dari Big BWN Project dan Dayang Siti Kailene binti Mohd. Jazlan Kashfi dari HIV Awareness Programme for Peers and Youth (H.A.P.P.Y) yang masing-masing menerima anugerah tersebut bagi Tahun 2020 dan Tahun 2021.

Para penerima Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat dan Anugerah Pemimpin Muda Belia menerima sebuah trofi, kain tenunan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah BND3,000 bagi perkembangan dan pembangunan projek.

Manakala Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan ‘grant’ galakan (C-Grant) bagi perkembangan dan pembangunan projek sebanyak BN3,500.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudian berkenan dijunjung berangkat ke Pameran Hari Belia di kawasan Concourse, ICC.

Semasa pameran tersebut, Kebawah DYMM berkenan melancarkan Aplikasi Sukarelawan yang dinamakan 'Mengalinga'.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan dijunjung bagi menandatangani Lembaran Kenangan dan berkenan menerima pesambah daripada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-16, Tahun 2021.

Sejurus selesai Majlis Santap dan sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HBK Ke-16, Tahun 2021.

Sambutan HBK Ke-16 masih mengekalkan tema 'Belia Siaga Masa Depan' selama tiga tahun berturut-turut, iaitu dari tahun 2019.

Ini adalah selaras dengan hasrat murni Kebawah DYMM untuk melihat belia Brunei siap siaga untuk menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya dalam konteks Revolusi Industri Keempat dan dalam keadaan norma baharu yang banyak menjanjikan perubahan dan peluang.

Di samping itu, ia juga relevan dengan pembarigaan Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) yang sedang giat dilaksanakan pada masa ini.

Konsep Sambutan HBK tahun ini memfokuskan kepada teknologi digital, kesukarelawanan, keusahawanan dan kepimpinan.  


Attachments
Created at 8/9/2021 8:54 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 8/9/2021 9:32 AM by Lee Chin Foo