Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
FESTIVAL LAYANG-LAYANG CETUSKAN KEHARMONIAN

Kikik Fest_01.JPG

Sumber : Pelita Brunei

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto : Ak Hussni Pg Hassan - KKBS

 



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 17 Mac. – Ruang udara Bandar Seri Begawan kelihatan indah dan penuh warna-warni apabila ratusan layang-layang (kikik) pelbagai saiz, bentuk dan warna diterbangkan semasa berlangsungnya Festival Layang-Layang (Kikik) Antarabangsa Kali Pertama Negara Brunei Darussalam 2019 yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 Tahun 2019.

Dengan berlatarbelakangkan pemandangan Kampong Ayer, Festival Layang-Layang Antarabangsa yang diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas itu, setentunya menggamit banyak kenangan manis semasa bermain kikik pada zaman dulu yang mana Kampong Ayer merupakan antara tempat bermulanya permainan tradisi kikik di negara ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli dan merasmikan Festival Layang-Layang (Kikik) Antarabangsa Kali Pertama tersebut.

Berangkat sama pada perasmian festival ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel.

Terdahulu, keberangkatan Kebawah DYMM di Taman Mahkota Jubli Emas dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Yang Di-Pertua Persatuan Kikik Negara Brunei Darussalam (PEKIKIK), Awang Haji Maidin bin Haji Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Festival  dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Festival.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Di-Pertua PEKIKIK, Awang Haji Maidin menyembahkan bahawa penganjuran festival buat pertama kalinya membuktikan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) dan peserta antarabangsa bahawa NBD tidak mahu ketinggalan dalam memastikan kelangsungan tradisi dan budaya masyarakat Brunei bertepatan dengan tema festival iaitu 'Mengeratkan Perpaduan (Strengthening Unity)'.

Permainan layang-layang ujarnya adalah unik berbanding dengan sukan rekreasi lain kerana ia mencetuskan keharmonian perpaduan sejagat melalui perkongsian minat yang sama, pelbagai bangsa di seluruh dunia yang berbeza budaya dan bahasanya, malahan juga menjadi aktiviti kekeluargaan yang mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negara.

Terdahulu Awang Haji Maidin menyembahkan, keberangkatan baginda bercemar duli sudah setentunya akan menjadi ristaan sejarah kerana festival tersebut merupakan julung kalinya diadakan di NBD dan telah dapat menyatupadukan pelayang-pelayang warga dunia melalui permainan layang-layang yang bukan sahaja merupakan warisan tradisi NBD bahkan juga turut dimainkan di persada antarabangsa dengan menunjukkan kehebatan mereka dengan persembahan layang-layang moden dan kreatif.

Sejurus menyempurnakan perasmian, baginda dan kerabat diraja disembahkenalkan kepada para peserta dan seterusnya baginda berkenan mengurniakan cenderamata kepada wakil 25 buah negara peserta antarabangsa dan peserta kebangsaan.

 Kikik Fest_02.JPG

Kebawah DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda kemudiannya dijunjung untuk menaikkan layang-layang tradisi Brunei dan seterusnya berkenan menyaksikan pameran layang-layang yang disertai oleh peserta antarabangsa dan kebangsaan, mempamerkan produk layang-layang masing-masing.

Juga menariknya pada festival kali ini ialah pihak penganjur juga menjemput beberapa ahli Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk turut sama-sama menyertai festival ini.

 Kikik Fest_023.JPG

Kikik Fest_04.JPG

Para pengunjung dari pelbagai peringkat umur termasuk pelancong asing yang turut hadir sama menyaksikan perasmian festival juga tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan berjunjung ziarah bersama baginda dan kerabat diraja lainnya, kerana inilah masanya untuk dapat bersua muka bersama raja yang disayangi rakyat jelata.

Dianjurkan oleh PEKIKIK dengan sokongan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; jabatan kerajaan dan sektor swasta, festival yang berlangsung mulai 13 hingga 19 Mac itu membawa penyertaan lebih 90 peserta antarabangsa yang mewakili 25 buah negara antaranya Australia, Austria, Belgium, Bulgaria, Kemboja, Kanada, Republik Rakyat China, Finland, Republik Persekutuan Jerman, Hong Kong, Republik Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Republik Singapura, Thailand, Republik Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

 Kikik Fest_05.JPG

Sementara itu, peserta tempatan pula disertai oleh kira-kira 100 peserta yang mewakili tujuh kelab kikik di negara ini antaranya dari Kampung Tanah Jambu, Mengkubau, Mentiri, Rimba dan Tungku.

Festival kali ini mempertandingkan beberapa pertandingan antarabangsa dan tempatan antaranya Pertandingan Rokkaku (Layang-layang Berskala Besar) Stunt Kite, Persembahan Layang-layang Antarabangsa, membuat Kikik Biasa Tradisi Brunei, membuat Kikik Sijulak, Kikik 2 Dimensi, Pertandingan Berlaga (Berpulut), Pertandingan Train Kite, Bengkel dan Pertandingan Meraut, Merakat, Meneraju dan Menaikkan Kikik, Pertandingan Menaikkan Layang-layang oleh OKU dan bermacam-macam lagi aktiviti yang disediakan untuk penyertaan orang ramai.

Sepanjang berlangsungnya festival tersebut, bazaar jualan serta pameran juga turut diadakan di sekitar Taman Mahkota Jubli Emas dan di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Untuk itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan dan menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti yang dijalankan dan, di samping itu, orang ramai juga diseru untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kebersihan kawasan Taman Mahkota Jubli Emas dan YSHHB.

 Kikik Fest_06.JPG

Dalam pada itu, orang ramai yang mungkin mendapati layang-layang putus dari pertandingan/aktiviti festival tersebut juga disaran untuk memberikan kerjasama untuk memulangkan layang-layang (kikik) berkenaan kepada pihak penganjur.

Turut dititikberatkan sepanjang penganjuran festival ialah mengenai pemantauan keselamatan dan kesihatan yang mana pihak penganjur turut menjemput pasukan paramedik, jururawat dan juga doktor dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang bertugas semasa perasmian festival tersebut.

Selain itu, kebersihan juga menjadi keutamaan sepanjang festival dan pihak penganjur dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Bandaran telah menyediakan tong-tong sampah yang diletakkan di tempat-tempat yang tertentu bagi kegunaan orang ramai agar persekitaran sentiasa terjaga dan dalam keadaan bersih pada setiap waktu, terutamanya dengan kedatangan dan kunjungan pelancong dan peserta luar negara ke negara ini.

Dengan keunikannya yang tersendiri, festival tersebut setentunya berjaya menarik ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan para pelayang antarabangsa di seluruh dunia bergabung bagi memperlihatkan hasil seni dan kreativiti masing-masing melalui pelbagai bentuk layang-layang berwana-warni besar dan kecil menghiasi ruang udara.

 Kikik Fest_07.JPG

Dengan bertemakan 'Mengeratkan Perpaduan (Strengthening Unity)', festival tersebut dihasrat agar dapat meningkatkan lagi perpaduan dan hubungan baik yang sudah sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara luar di seluruh dunia.

Seiring dengan perkembangan zaman dan kepesatan kemajuan dunia, terutamanya dalam zaman info komunikasi dan dunia tanpa sempadan, permainan layang-layang (kikik) juga turut berkembang dan lahirlah usaha dan aktiviti untuk menyatupadukan permainan ini di seluruh dunia.

Selaku pihak penganjur, PEKIKIK yang didaftarkan secara rasmi pada 14 Julai 1997 ditubuhkan sebagai hasrat untuk menghidupkan permainan kikik tradisional kepada generasi baharu masa kini.

Semasa 'Tahun Melawat Brunei 2000', Persatuan tersebut buat pertama kalinya menganjurkan Pesta Kikik yang bertaraf serantau dengan menjemput Pelayang-pelayang dari negara-negara ASEAN.

PEKIKIK juga pernah menghadiri jemputan dan undangan dari beberapa Festival Layang-layang Antarabangsa seperti Republik Indonesia, Malaysia, Republik Rakyat China, Taiwan dan seumpamanya.

Attachments
Created at 3/18/2019 12:34 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 3/18/2019 4:24 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan