Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
RIADAH BERBASIKAL ERATKAN KEMESRAAN RAJA DAN RAKYAT

‚Äč240219-RiadahBasikal.penerangan.2.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman - Penerangan

Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid - Penerangan & Ak Hussni bin Pg Hassan - KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 24 Februari 2019 - Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien sekali lagi menjadi tumpuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat di negara ini yang sama-sama menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2019 bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 tahun ini. 

Penganjuran acara tersebut menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dalam memupuk perpaduan negara melalui penghayatan budaya sukan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus kepada perwujudan warga sihat yang mana adalah penting ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Kemeriahan Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan kali ini jelas terbukti dengan kehadiran lebih 1,000 peserta yang turut sama-sama menjayakan sekaligus menzahirkan semangat patriotisme mereka terhadap negara tercinta.

Acara ini bertambah seri apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2019.

240219-RiadahBasikal.penerangan.1 (2).jpg

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM berserta kerabat diraja yang lain di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS), Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 berserta Menteri-Menteri Kabinet yang lain. 

Sejurus keberangkatan, baginda dijunjung melancarkan Acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2019 dengan menekan punat pelancaran dan menandatangani bingkai baju khas sempena Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2019.

Pelancaran diiringi dengan persembahan Koir daripada kira-kira 70 orang pelajar Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali. 

Baginda kemudian berkenan mendahului riadah berbasikal sejauh 11.50 kilometer yang turut disertai oleh Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

Laluan bagi acara kayuhan berkenaan meliputi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Gadong, Jalan Perdana Menteri, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Sejurus mengakhiri acara kayuhan tersebut, baginda berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada seramai 35 orang pekayuh basikal dari 13 buah kementerian dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam yang berjaya mengelilingi 35 kilometer yang berlepas sejak pukul 6.45 pagi dan juga peserta berbasikal yang terdiri daripada belia-belia dari pelbagai peringkat umur. 

Terdahulu, pelepasan peserta-peserta Riadah Berbasikal 35 Kilometer tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri KBS, yang mana mereka melalui jalan-jalan utama pusat Bandar sehingga ke Jalan Bengkurong Masin, Lumapas, Junjongan dan kemudiannya merentasi Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Jalan Sungai Kianggeh, Jalan Pemancha dan kembali semula ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Baginda juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Menteri KBS.

Pada acara riadah tersebut, turut diadakan Program Bandarku Ceria yang lazimnya dimulakan dengan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat.

Selain riadah berbasikal, baginda berserta kerabat diraja yang lain turut menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria di dalam Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien yang menampilkan berbagai jenis aktiviti dan pameran yang disediakan daripada 13 buah kementerian, Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan dan juga agensi-agensi swasta seperti Program Pencegahan Jenayah; Program Pendidikan Pencegahan Dadah; Polo Berbasikal; Permainan Celik Kewangan; jualan produk yang dihasilkan oleh penghuni-penghuni Jabatan Penjara; Program Olahraga Kanak-Kanak; Permainan Bocce; Pameran Interaktif Mega Heart; Peraduan Membaca Jawi dan Menulis Jawi; Demonstrasi Tayammum dan Wudhu yang betul; Klinik Berbasikal; Aktiviti Tenaga Lestari; Permainan Tradisi (pasang, congkak, salok-salokan dan buah-buah lapas); Perlawanan Kikik, paintball, memanah dan sebagainya.

Persembahan latihan kecergasan, Silat, Body Combat, Tabata dan Wave daripada 361 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-8 turut memukau para pengunjung yang hadir sama pada acara tersebut.

Semasa berkunjung ke petak-petak pameran, baginda berkenan menyaksikan beberapa aktiviti dan demonstrasi oleh peserta-peserta pameran dan baginda juga berkenan mencuba beberapa aktiviti iaitu memanah dan menulis Jawi.

Kemesraan antara raja dan rakyat juga terserlah semasa acara riadah tersebut apabila baginda berkenan beramah mesra dan meluangkan masa bergambar kenangan bersama para peserta kayuhan, pengunjung dan masyarakat dari pelbagai peringkat umur yang setentunya akan menjadi ristaan dan kenangan manis sepanjang hayat.

Para peniaga-peniaga kecil dan sederhana juga tidak melepaskan peluang untuk berjaja pada hari tersebut.

240219-RiadahBasikal.AkHussni (2).JPG

Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2019 ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta penglibatan semua kementerian-kementerian yang lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam. 

240219-RiadahBasikal.AkHussni (1).JPG

Kejayaannya sudah setentunya lebih bermakna dengan penglibatan aktif daripada semua pihak melalui pendekatan 'whole government' dan 'nation approach' yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO's) dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dalam menjayakan riadah berbasikal ini.

 240219-RiadahBasikal.penerangan.3 (2).jpg

Attachments
Created at 2/25/2019 10:27 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 2/25/2019 10:36 AM by Lee Chin Foo