Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
KEBERANGKATAN DYTM CERMINKAN KEPRIHATINAN UNTUK KEMAJUAN SUKAN NEGARA

‚Äč101118-post mortem sukan belia musim panas buenos aires.2.jpg

[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Haniza Abdul Latif - Penerangan

Foto : Azmah Haji Ahad - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 November 2018 - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Mesyuarat Post Mortem Kejohanan Sukan Olimpik Belia Musim Panas Kali Ke-3 di Buenos Aires, Argentina.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

Pada mesyuarat yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa keberangkatan DYTM ke mesyuarat tersebut amatlah bermakna dan mencerminkan sifat keprihatinan DYTM yang berterusan terhadap usaha untuk memajukan sukan di negara ini.

Post Mortem yang diadakan itu sembah Yang Berhormat, amat mustahak demi untuk mengambil segala pengalaman dan pengajaran dengan sepenuhnya terutama bagi mengetahui kekuatan-kekuatan (strengths) mahupun cabaran-cabaran (challenges) yang dihadapi untuk menjadi iktibar bagi para atlet Kejohanan Sukan Olimpik Belia Musim Panas Kali Ke-3 yang berusia muda dan berbakat tinggi.

Yang Berhormat amat yakin segala sumbangan dan nasihat yang didengarkan semasa mesyuarat itu akan memberikan impak bermakna ke arah mewujudkan kualiti kesukanan yang lebih cemerlang bagi para atlet kejohanan tersebut secara khususnya dan bagi penyertaan negara dalam acara sukan yang akan datang secara amnya.

Agenda mesyuarat kemudian diteruskan dengan sembah ucapan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan, antara lain menyembahkan hasil penyertaan negara ke sukan tersebut.

Pada kejohanan itu sembahnya, Negara Brunei Darussalam tidak dapat meraih sebarang pingat, namun para atlet menunjukkan semangat daya saing dan kesukanan yang tinggi dan dua atlet berjaya memecahkan rekod peribadi masing-masing.

Sementara itu, dalam sembah laporan kontinjen Kejohanan Sukan Olimpik Belia Musim Panas Kali Ke-3 yang disampaikan oleh Chef de Mission, Awang Faisal bin Yunus antara lain menyentuh mengenai perlunya bimbingan dan latihan di bawah jurulatih berpengalaman adalah sangat penting agar dapat terus diberikan bagi meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian mereka ke satu tahap yang lebih baik agar mereka mampu menjadi atlet-atlet harapan negara yang dapat mengharumkan nama negara, bukan sahaja di peringkat serantau bahkan juga di peringkat global.

Seramai tiga atlet Negara Brunei Darussalam dan empat pegawai termasuk Chef de Mission, Pegawai Urusetia dan Jurulatih menyertai kejohanan tersebut yang bermula pada 6 hingga 18 Oktober 2018 bagi acara sukan olahraga dan renang.

101118-post mortem sukan belia musim panas buenos aires.3.jpg

Attachments
Created at 11/11/2018 11:45 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 11/11/2018 11:48 AM by Lee Chin Foo