Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
PENGLIBATAN BELIA DALAM AKTIVITI KEAGAMAAN MENYERLAH

​[Sumber: Pelita Brunei]

Berita: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi - Penerangan

Foto: Hamzah Mohidin - Penerangan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Jun 2018 - Majlis Perhimpunan Bertadarus Al-Quran Belia Senegara 1439H / 2018M berlangsung secara berasingan bagi belia lelaki yang mengumpulkan seramai lebih 2,000 belia lelaki di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah sementara beliawanis pula di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Berangkat menyemarakkan lagi majlis berkebajikan di sini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan II selaku Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Haji Muhd. Fikri bin Haji Awang Metussin, Johan Qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439H / 2018M.

Kemudian diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran dimulai dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al-Massad yang dikepalai oleh Muhammad Farhan bin Alim, penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh Kumpulan Dikir Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang juga mempersembahkan Dikir Marhaban.

Doa Khatam dibacakan oleh penuntut ITQSHHB, Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib, manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Awang Haji Muhd. Fikri bin Haji Awang Metussin.

Majlis berkenaan diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah.

Acara anjuran secara kolaborasi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan ini mengumpulkan para belia dan beliawanis daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, persatuan-persatuan belia, para penuntut, bekas peserta program-program belia dan orang perseorangan.

Majlis sedemikian antara lain bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran, di samping untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.

Dengan adanya majlis seumpama ini, diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Attachments
Created at 6/11/2018 10:50 AM by Lee Chin Foo
Last modified at 6/11/2018 10:52 AM by Lee Chin Foo