Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions
BERKENAN BERANGKAT SERTAI RIADAH BERBASIKAL SEMANGAT KEBANGSAAN


02.jpg 

[ Sumber : Pelita Brunei ]


Oleh : Nooratini Haji Abas / 


Foto : Haji Ariffin Mohamad Noor / Morshidi, Masri Osman, Hamzah Mohidin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Hernie Suliana Othman, Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali, Azmah Haji Ahad



BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Februari. - Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama berangkat memeriahkan Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018 jelas mencerminkan bahawa hubungan raja dan rakyat itu tidak ada tembok dan pemisah di antara mereka.


Walaupun dalam keadaan hujan lebat yang turun, namun suasana di ibu negara bertambah meriah dengan ribuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat di negara ini yang sama-sama menyertai acara riadah tersebut bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34 Tahun ini.


Acara ini menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi, demi perpaduan negara melalui penghayatan budaya sukan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh yang menjurus pada pewujudan warga sihat, yang mana adalah penting ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Perkara ini adalah selaras dengan tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan 2018, iaitu 'Menjayakan Wawasan Negara'.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di sini.


Berangkat sama ialah anakanda-anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.


Keberangkatan baginda dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kesihatan, Yang Behormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Jaafar.


Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM dijunjung dan berkenan menekan punat pelancaran dan seterusnya pelepasan belon besar bersama 'banner' dan belon-belon kecil.


Belon-belon kecil tersebut dipegang dan dilepaskan oleh 30 peserta Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) Ke-13, manakala pompom dipegang dan digerakkan oleh seramai 30 belia yang terdiri daripada Alumni Peserta Program Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun.


Selepas pelepasan belon-belon tersebut, baginda mendahului Riadah Berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh hampir 11.5 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama, antaranya Jalan Pretty; Jalan Elizabeth 2; Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Gadong; Jalan Perdana Menteri; Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di taman berkenaan.


Selesai Riadah Berbasikal, Kebawah DYMM berkenan menyaksikan perbarisan lalu oleh seramai 34 pekayuh basikal dari keempat-empat daerah yang berjaya mengayuh sejauh 34km yang berlepas sejak 6.45 pagi dan seterusnya diikuti dengan 34 peserta basikal kanak-kanak juga persembahan Gerak Khas oleh 374 peserta Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).


Pada majlis itu, Kebawah DYMM berkenan menerima pesambah yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.


Selain berbasikal, baginda dan kerabat diraja turut berkenan menyaksikan secara lebih dekat lagi kemeriahan Bandarku Ceria yang diadakan di persekitaran taman tersebut dengan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh agensi-agensi yang terlibat, antaranya Military Cross Fit Training, Persembahan Tai Chi, Football Fun Fair dan sesi beramah mesra dengan pemain-pemain pasukan Brunei DPMM FC, Klinik Bola Sepak, Pancaragam Kadet Beruniform, Aktiviti Seni Kitar Semula, Persembahan Silat dan Klinik Silat, Persembahan Kraf Origami, Klinik Basikal dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Jualan Kraf Tangan Unit Pendidikan Khas dan sebagainya.


Riadah Berbasikal Semangat Kebangsaan 2018 merupakan anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan dengan penglibatan semua kementerian lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.


Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan dan NGOs adalah sangat efektif dan berkesan, apatah lagi jika diguna pakai dalam memajukan program-program pembangunan negara.


Attachments
Created at 2/26/2018 5:11 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan
Last modified at 2/28/2018 4:11 PM by Ak Hussni Bin Pg Hassan