Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Sudah sewajarnya kita merafa'akan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah pula kita meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Semoga dengan perayaan ini akan mengingatkan kita kepada rahmat Allah berupa kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.
Rahmat Allah turun, kerana negara ini berstatus 'Negara Zikir', dengan umat di dalamnya menjalani kehidupan bertakwa. Apabila sesebuah negara dihuni oleh manusia-manusia ahli takwa, maka janji Allah pasti berlaku menurunkan berkat daripada langit dan mengeluarkannya daripada bumi.
Pada tahun ini kita menjulang tema sambutan, berbunyi: "Menjayakan Wawasan Negara". Menyebut wawasan sahaja tidak memadai. Tetapi yang penting, kita mesti menentukan 'dasar', selaku penunjuk arah kepada satu-satu matlamat atau tujuan yang hendak dicapai.
Pada Beta, dasar terbaik ialah 'takwa'. Takwalah landasan satu-satunya yang mampu untuk menyampaikan kita kepada kejayaan. Hanya dengan takwa jua segala perjalanan hidup terjamin lurus dan adil, termasuk langkah kita menjana Wawasan Negara.
Di bawah dasar ini, kebajikan rakyat dan penduduk adalah diutamakan.
Siasah takwa dapat memperkukuh perpaduan umat dan menjamin keharmonian antara kaum. Sementara terhadap mereka yang di luar lingkungan pula, akan kekal menikmati hubungan berbaik-baik, atas dasar hormat-menghormati dan tidak mencampuri urusan masing-masing.
Dalam ekonomi, dasar takwa juga menjamin kesucian, iaitu menjana rezki dari sumber yang halal, bukan dari sumber yang haram. Dasar ini melarang keras menipu atau memberi dan menerima rasuah dan lain-lain. Pendeknya, dasar ekonomi takwa, sama sekali tidak menganiaya mana-mana pihak.
Kita sekarang dalam rangka memperkasa masyarakat dan institusi kekeluargaan. Di sini, dasar takwa adalah mampu untuk menjamin golongan tertentu supaya mendapat pembelaan dan perlindungan. Maka melalui Program Pelan Membasmi Kemiskinan Di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), kita telahpun merangka inisiatif-inisiatif pemerkasaan sara diri bagi golongan sasaran.
Langkah ini akan membuka peluang yang lebih luas untuk golongan tertentu untuk mendapatkan pekerjaan ataupun bergiat di dalam bidang keusahawanan, yang sekaligus akan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.
Ini juga mendukung konsep takwa, yang menggalakkan umat Islam supaya berdikari dengan titik peluh sendiri.
Walau bagaimanapun, negara tetap mengambil tanggungjawab untuk mengusahakan pelbagai kemudahan bagi kebajikan rakyat, seperti misalnya, sedikit masa lagi insya Allah, kerajaan akan melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang akan membolehkan pemohon bantuan untuk membuat permohonan secara di atas talian (online).
Apapun rancangan dan perubahan, banyak bergantung kepada sumber tenaga manusia. Sumber ini tidak syak lagi adalah aset terpenting negara, kerana merekalah yang akan berusaha untuk mencorakkan kehidupan, selaras dengan keperluan.
Sumber tenaga yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi amatlah dihajati bagi tujuan membawa perubahan.
Sekarang, satu projek raksaksa, Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong sedang menunggu masa untuk dibuka. Dari sini, kita boleh belajar, bahawa tanpa sumber tenaga berkemahiran, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan.
Demikian itulah pentingnya untuk kita melakar pendidikan tinggi untuk melahirkan sumber tenaga yang berkemahiran.
Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun ini.
Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.