Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksMatlamat Dasar Kebudayaan

 
 
 
 
 
 



Mengukuhkan semangat cinta dan taat setia rakyat kepada Konsep Negara 'Melayu Islam Beraja'.

Memelihara dan mengembangkan Kebudayaan Negara untuk dihayati sebagai amalan hidup bernegara yang praktik dan fungsional.

Melahir dan mengekalkan bangsa Brunei yang berbudaya, cergas, maju dan teguh seimbang dengan pembangunan sosio­ekonomi negara dan arus perubahan dunia keseluruhannya.

Memupuk dan meningkatkan semangat perpaduan dalam usaha memperoleh ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat.

Huraian Matlamat Kebudayaan Negara


Empat matlamat Kebudayaan Negara yang digariskan adalah bertujuan untuk mendukung dan menjelaskan DASAR KEBUDAYAAN NEGARA. Matlamat-matlamat ini juga dihasratkan bagi memudahkan orang ramai memahami maksud dan tujuan Dasar Kebudayaan Negara dengan senang dan lebih baik.

Mengukuhkan Semangat Cinta Dan Taat Setia Rakyat Kepada Konsep Negara 'Melayu Islam Beraja'


Untuk memastikan 'survival' bangsa dan Negara Brunei Darussalam adalah difikirkan amat perlu supaya matlamat ini diperkukuhkan dari semasa ke semasa agar kehadirannya dalam diri individu rakyat akan sentiasa wujud. Dengan memiliki semangat ini adalah diharapkan supaya dapat membantu untuk menjadikan rakyat Brunei yang rela berkorban demi kepentingan raja, bangsa, agama dan negara.

Memelihara Dan Mengembangkan Kebudayaan Negara Untuk Dihayati Sebagai Amalan Hidup Bernegara Yang Praktik Dan Fungsional


Matlamat kedua ini berhubung rapat dengan matlamat pertama. Pada dasarnya waktu ini memang terdapat usaha-usaha pemeliharaan dan pengembangan kebudayaan secara berasingan menurut bidang dan kemampuan masing-masing tetapi tanpa koordinasi yang berkesan dan fungsional. Kurangnya koordinasi ini dan sistem yang praktik dan fungsional menimbulkan beberapa masalah asas, terutamanya dari segi perlaksanaan peranan dan fungsi serta kefahaman orang ramai dalam membuat satu-satu rujukan untuk satu-satu tujuan. Dengan adanya koordinasi yang berkesan dan sistem yang praktik dan fungsional akan lebih menyenangkan untuk mencapai matlamat usaha-usaha pemeliharaan dan pengembangan Kebudayaan Negara.

Memandangkan unsur-unsur budaya itu suatu yang penting terhadap kemajuan keperibadian bangsa, dan unsur-unsur itu pula dari semasa ke semasa semakin lenyap atau tenggelam oleh arus permodenan, jadi adalah difikirkan amat perlu unsur-unsur budaya itu dipelihara dan dikembangkan supaya kebudayaan Melayu Brunei itu benar-benar dapat dirasakan kehadirannya sebagai Kebudayaan yang fungsional untuk ketahanan bangsa dan kemajuan negara.

Melalui matlamat ini akan dapat diusahakan program pengkajian dan penyelidikan kebudayaan yang mana hasilnya kelak dapat dimanfaatkan dengan berkesan untuk dihayati sebagai amalan hidup bernegara yang praktik dan fungsional demi memberi erti kepada kewibawaan Kebudayaan Negara.

Adalah perlu unsur-unsur Kebudayaan Melayu Brunei itu dikenali, diketahui dan dihayati oleh setiap rakyat Negara Brunei Darussalam agar tumbuh semangat atau rasa kepunyaan (sense of belonging) terhadap Kebudayaan Melayu Brunei supaya dengan lebih mudah mereka itu akan menginsafi asal usul dan latar belakang kepentingan dan potensi mereka sendiri. Dengan cara ini akan membantu pembentukan warga Negara Brunei Darussalam yang tahu mengenang budi, berjasa kepada raja, bangsa, agama dan negara dan mampu pula untuk menyesuaikan diri mereka dengan arus-arus perubahan dunia sekelilingnya.

Melahirkan dan Mengekalkan Bangsa Brunei Yang Berbudaya, Cergas, Maju dan Teguh Seimbang dengan Pembangunan Sosio­Ekonomi Negara


Adalah dihasratkan Kebudayaan Negara dapat mengangkat kualiti atau darjat kehidupan orang Brunei ke tahap yang lebih tinggi dan bererti pada menuju ke arah kesejahteraan dan kesempurnaan insan

Pertambahan penduduk sering digimbari oleh pelbagai masalah dan cabaran.

Jika masalah dan cabaran itu tidak diberikan perhatian wajar, berkemungkinan besar ianya akan melemahkan semangat cintakan budaya sendiri, semangat ingin maju, semangat ingin berjuang, semangat dan rasa tanggungjawab terhadap raja, bangsa, agama dan negara di kalangan generasi akan datang. Kelemahan atau kehilangan semangat-semangat tersebut pada diri rakyat Brunei Darussalam akan mengancam dan menjejaskan 'survival' bangsa dan negara.

Untuk melahir dan mengekalkan suasana stabil dan sejahtera bagi bangsa dan negara ini memerlukan pertumbuhan dan pembangunan sosio-budaya dan tekno-ekonomi yang seimbang. Kepincangan salah satu daripadanya akan menjejaskan sistem sosial, ekonomi dan politik negara. Fenomena inilah yang seboleh-bolehnya hendak dielakkan supaya program-program pembangunan negara akan dapat dilaksanakan dengan baiknya.

Memupuk dan Meningkatkan Semangat Perpaduan Dalam Usaha Memperoleh Ketenteraman Keselamatan, Kebajikan Serta Kebahagiaan Rakyat


Kesejahteraan negara merupakan suatu impian yang mahu dicapai oleh semua negara di dunia ini. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali.

Salah satu cara untuk mencapainya adalah melalui proses atau strategi pemupukan semangat perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk Brunei Darussalam. Perpaduan yang dimaksudkan ialah perpaduan yang jujur lagi sihat seperti hasrat yang sering dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Semangat ini dapat disemai dan dipupuk pada peringkat awal lagi dengan cara proses pembudayaan nilai-nilai tradisi yang sifatnya mulia dan murni seperti taat setia kepada raja, berpegang kepada ajaran agama, beradat istiadat dan bersopan santun, memuncang- muncang, hormat kepada orang tua-tua dan sifat berawar galat. Nilai-nilai tradisi ini akan menimbulkan semangat perpaduan, persefahaman, toleransi dan hormat­ menghormati.

Perpaduan amat penting untuk kestabilan sosial, politik dan ekonomi bagi sesebuah negara. Tanpa kestabilan sosial, politik dan ekonomi adalah sukar untuk mencapai tahap pembangunan yang tinggi bagi bangsa dan negara yang boleh membantu kepada pengwujudan perpaduan. Hasrat untuk mencapai perpaduan bagi kesejahteraan dan keamanan rakyat dan negara adalah tanggungjawab kita bersama.


[ atas ]